Friday, May 20, 2016

Jumlah Agihan Zakat Exim Bank Meningkat

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Jumlah agihan zakat Exim Bank Malaysia Berhad untuk membantu golongan asnaf meningkat kepada RM1.2 juta tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norzilah Mohammad berkata peningkatan peruntukan zakat daripada RM277,000 pada 2014 kepada RM1.2 juta tahun ini bergantung kepada lebihan keuntungan yang diperoleh pada tahun lepas.

"Hari ini sejumlah RM44,800 telah diagihkan kepada 60 orang penghuni sekitar Masjid Al-Syakirin, Gombak, yang layak menerima sumbangan zakat menjelang bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang zakat 2016 di sini hari ini.

Beliau berkata program membantu golongan yang kurang berkemampuan itu, yang bermula tiga tahun lepas, akan turut membina empat buah rumah di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak, dengan kos RM50,000 sebuah, katanya.

Turut hadir Nazir Masjid Al-Syakirin, Prof Madya Dr Saupi Man dan Ketua Jabatan Pengurusan Syariah Exim Bank Zulkipli Md Yunos.

Norzilah berkata Exim Bank juga turut menyediakan Tabung Rawatan Mawaddah bagi menguruskan bantuan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan kewangan antara RM2,000 hingga RM10,000 kepada pesakit kronik dan kurang upaya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan zakat Wainah Hasan, 48, berkata, beliau yang tidak pernah menerima bantuan seperti itu amat bersyukur kerana dapat meringankan beban menanggung anaknya Khairina Putri Sariman, 15, yang menghidap penyakit palsi serebrum.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban bagi menanggung kos rawatan, ubat dan vitamin untuk anak saya,"katanya yang kerap berulang-alik ke Hospital Selayang sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bergantung pada keadaan anaknya untuk mendapatkan rawatan dan ubatan.

Ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak hanya menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM500 sebulan, dan tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anaknya sejak 10 tahun lalu.

Beliau yang tinggal di Flat Sri Langkawi 2, turut menghantar anaknya ke sekolah khas Pemulihan Dalam Komuniti Kammi khusus untuk pemulihan.

Seorang lagi ibu tunggal, Ainon Mat Jusoh, 39, berkata beliau rasa dihargai apabila menerima bantuan dan keperihatinan pihak Exim Bank bagi meringankan beban menjaga dua orang anaknya yang masih kecil, katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment