Wednesday, May 4, 2016

MQA Jalin Kerjasama Dengan QQI Kukuhkan Bidang Jaminan Kualiti

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kualiti dan Kelayakan Ireland (QQI) mengukuhkan kerjasama dalam bidang jaminan kualiti dengan menandatangani "Memorandum of Arrangement" hari ini.

MQA dalam satu kenyataan hari ini berkata memorandum itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa dan Ketua Eksekutif QQI Dr Padraig Walsh sementara Dr Hazman Shah Abdullah dan Dr Bryan Maguire mewakili sektor jaminan kualiti di kedua-dua agensi tersebut.

Majlis pemeteraian perjanjian yang berlangsung di Petaling jaya, dekat sini disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Prof Dr Asma Ismail dan wakil Kedutaan Ireland di Malaysia, Kerry O'Sullivan.

Ia bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama menerusi pertukaran dan perkongsian maklumat, program pertukaran pakar dan pegawai serta kerjasama dalam aktiviti penilaian akreditasi.

Dr Maguire berkata perjanjian tersebut mencerminkan tahap keyakinan tinggi dan komitmen kedua-dua agensi dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan tinggi yang berkualiti.

Prof Rujhan pula berharap kedua-dua agensi dapat melaksanakan projek kebolehbandingan sistem jaminan kualiti dan kerangka kelayakan bagi memudahcara pengiktirafan kelayakan yang ditawarkan di Malaysia dan Ireland serta meningkatkan mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan dalam Bengkel Sokongan Kesatuan Eropah Untuk Pendidikan Tinggi di Rantau ASEAN (SHARE) untuk kali pertama.

Bengkel sehari itu disertai antara lain oleh wakil agensi jaminan kualiti, badan profesional, institusi pendidikan tinggi, wakil pelajar dan alumni dari Malaysia, Filipina, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Ireland dan Kemboja.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment