Wednesday, May 4, 2016

SYED MUHAMMAD DILANTIK PENGERUSI PEMUDAH CARA PROGRAM FUTURE CEO


Datuk Dr Syed Muhamad bin Syed Abdul Kadir

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Pengerusi CIMB Islamic Bank Datuk Dr Syed Muhammad Syed Abdul Kadir dilantik sebagai Pengerusi Pemudah Cara ‘Future CEO Programme’ di Malaysia.
Program berkenaan yang ditawarkan oleh CEO Institute of Australia, badan pensijilan pertama dunia bagi CEO (ketua pegawai eksekutif), ialah platform bagi para eksekutif kanan dan pemimpin perniagaan perusahaan kecil dan sederhana bertemu secara berkala menerusi ‘pembelajaran secara pementoran’.
Pelantikan Syed Muhammad akan membantu memudahkan pengalaman pembelajaran bagi peserta program pembangunan dan menjadi mentor mereka dalam cabaran perniagaan semasa, kata K-Pintar Sdn Bhd, penyedia penyelesaian pembangunan modal insan utama, dalam satu kenyataan Selasa.
Mengulas pelantikan beliau, Syed Muhammad berkata beliau teruja atas pelantikannya sebagai pengerusi pemudah cara pertama program berkenaan di Malaysia memandangkan ia akan memberikannya peluang untuk berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan peserta.
“Ia diharap memperkasa mereka dari segi keupayaan dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi ketua sebuah organisasi,” katanya.
Syed Muhammad turut mengetuai beberapa organisasi awam dan swasta.
Program itu dengan levi boleh dituntut daripada Dana Pembangunan Sumber Manusia, akan mengadakan mesyuarat pertamanya, membabitkan 16 peserta, pada 28 Mei ini.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment