Sunday, June 2, 2019

RADIO IKIM SEDIAKAN RANCANGAN KHAS SEMPENA AIDIL FITRI

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440H/2019, Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyediakan pelbagai Program Khas Raya untuk para pendengarnya. Penerbitan program yang pelbagai genre itu antara lain bagi menyalur kefahaman Islam selaras dengan misi IKIM memahami Islam untuk membina Peradaban.

Radio IKIM yang berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Radio Islam nombor  Satu di negara ini dengan jumlah 1.5 juta pendengar memulakan program khasnya sejak Ramadan lagi.

Pemangku Pengarah Pusat Media IKIM, Tuan Haji Mahathir Shaharuddin berkata setiap tahun radio IKIM akan menampilkan kelainan dalam penerbitannya kerana rancangan yang diterbitkan bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi sarat dengan pengisian ilmiah, memberi inspirasi dan bersifat kerohanian.

“Radio IKIM ketika ini menuju ke arah saluran pendigitalan, justeru rancangan-rancangan di radio IKIM akan dapat didengar menerusi saluran youtube, podcast dan Facebook live. Oleh itu, rancangan khas hari raya akan dapat didengari bukan sahaja oleh pendengar dalam negara tetapi luar negara. Rancangan seperti Lebaran di Perantauan diterbitkan khusus untuk mereka yang berada di perantauan” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada tahun ini radio IKIM masih menggunakan tema ‘Fitrah Aidilfitri’ untuk mengajak pendengar menghayati makna Aidilfitri itu sendiri. Bahkan, bulan syawal adalah bertujuan untuk mengingatkan insan agar kembali kepada fitrahnya setelah melalui sebulan tarbiyyah Ramadan.

Katanya sebanyak 11 program khas telah disediakan untuk Hari Raya ini yang dimulakan seawal 6.30 pagi pada hari raya pertama menerusi rancangan Tafsir al-Quran Khas Aidilfitri.

Antara program yang bakal disiarkan ialah Siaran Langsung Solat Sunat Aidilfitri, Perutusan Khas Hari Raya Pengerusi IKIM, Rahmatan Lil Alamin Khas Raya, Topik Jumaat Istimewa Raya, Travelog Muslim Care Banda Acheh, Mutiara Aidilfitri, Konsert@Karnival Geng Masjid, Lebaran Di Perantauan, dan banyak lagi.

Program-program tersebut diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail, Mohd Faiz Hj. Othman, Maslina Alias, Mazlina Ismail dan Ahmad Nazri Mohd Yusof. Program-program yang disediakan ini amat bersesuaian untuk pendengaran ketika umat Islam merayakan Aidilfitri.

Frekuensi IKIM.fm boleh diikuti melalui 91.5 FM (Lembah Klang), 102.7 FM (Ipoh), 89.6 FM (Kuantan), 102.7 FM (Negeri Sembilan), 102.7 FM (Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Langkawi), 89.8 FM (Johor Bahru), 89.5 FM (Melaka), 89.8 FM (Kota Bharu), 100.2 FM (Kuala Terengganu), 93.9 FM (Kota Kinabalu), 107.3 FM (Lahad Datu), 104.0 FM (Miri) dan 93.7 FM (Kuching).

Sumber : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 

No comments:

Post a Comment