Wednesday, June 12, 2019

PKNS RAIH ANUGERAH BERTARAF DUNIA

SHAH ALAM31 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai antara pemenang anugerah hartanah berprestij dunia iaitu FIABCI World Prix D’Excellence Award 2019 di Golden Palace, Moscow, Russia, semalam.

Bangunan Ibu Pejabat PKNS yang terletak di Seksyen 14 Shah Alam dengan seni bina yang menarik dan berteknologi tinggi berjaya meraih anugerah ‘Perak’ bagi kategori ‘Pejabat’ daripada 13 kategori yang dipertandingkan.

PKNS dipilih menerima anugerah ini hasil penilaian dan penjurian yang dibuat oleh juri antarabangsa sepenuhnya berdasarkan beberapa kriteria iaitu, rekabentuk dan arkitek, pembangunan dan pembinaan, faedah kepada komuniti, impak kepada alam sekitar serta pemasaran dan kewangan yang kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, anugerah ini adalah satu pengiktirafan yang besar kepada PKNS sebagai sebuah agensi kerajaan di Malaysia.

Menurutnya, meskipun pernah meraih pelbagai anugerah, namun pencapaian ini cukup bermakna kerana ia adalah yang terbesar untuk tahun ini.

“Menerusi anugerah yang diterima ini membuktikan bahawa Bangunan Ibu Pejabat PKNS kini menjadi ikon di Shah Alam yang bertaraf dunia.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi satu kebanggaan buat PKNS, tetapi juga kepada negeri Selangor dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek mewakili PKNS menerima anugerah berkenaan di Moscow, Russia.

Untuk rekod, PKNS sebelum ini telah menyertai pencalonan FIABCI Malaysia Property AwardsTM  2018 dan terpilih sebagai pemenang menerusi projek Bangunan Ibu Pejabatnya pada 17 November 2018, sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia ke pencalonan FIABCI World Prix D’Excellence Award.

FIABCI World Prix D’Excellence Award adalah acara berprestij yang mengiktiraf projek-projek hartanah seluruh dunia anjuran FIABCI International Real Estate Federation. 

No comments:

Post a Comment