Thursday, March 29, 2018

BERNAMA RANGKUL 2 ANUGERAH MEDIA MITI 2018


KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul dua anugerah pada Malam Anugerah Media Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2018 di sini, malam tadi. 

Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Bernama, yang diketuai Pengarang PBE, Siti Hawa Othman, meraih 'Anugerah Rakan Media kategori Media Cetak dan Portal Berita' sebagai penghargaan kerana memberikan sokongan menerusi publisiti dan pelaporan berita yang berterusan kepada kementerian.

Mohd  Noor Azeery Idris dari Bernama News Channel (BNC) pula muncul sebagai pemenang bagi anugerah media penyiaran dan video portal berita kategori berita terbaik bertajuk 'Program Pembangunan Vendor-GLC explorace 2017'.

Anugerah disampaikan oleh Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed, bersama Ketua Setiausaha, Datuk Seri J. Jayasiri.

Mustapa berkata penganjuran majlis buat julung kalinya itu adalah sebagai satu inisiatif dalam menghargai dan memberi pengiktirafan kepada pengamal media menerusi penghasilan karya-karya kewartawanan terbaik atau pelaporan berita yang berkait dengan fungsi, peranan dan kejayaan yang dicapai oleh MITI dalam mempengaruhi dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Selain untuk memberikan pengiktirafan, menjalinkan perhubungan profesional dan  mempertingkatkan imej positif, beliau berkata objektif penganjuran juga adalah sebagai satu usaha untuk menjadikan pihak media sebagai rakan informatif dalam pembentukan satu perkongsian pintar yang berterusan.

 Institut Akhbar Malaysia (MPI) dilantik sebagai sekretariat penghakiman semua lima kategori yang dipertandingkan tahun ini.

Badan penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia merangkul 'Anugerah Rakan Media kategori Media Penyiaran dan Video Portal Berita' dan kategori laporan khas terbaik bertajuk 'Kerjasama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Alternatif Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)' oleh Mohd Zubairy Abdullah.

Kategori rencana terbaik untuk media cetak dan portal berita pula dimenangi oleh Behonce Beh dari Focus Malaysia menerusi penulisan bertajuk 'Bringing Malaysia-made medical devices to the fore'.

Selain trofi, para pemenang turut membawa pulang hadiah wang tunai antara RM2,000 dan RM5,000.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment