Wednesday, January 24, 2018

SUNGAI LONG MEDICAL CENTER LANTIK CLINIPATH KENDALI MAKMAL PERUBATAN

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) – Sungai Long Medical Center (SLMC) melantik Clinipath Malaysia Sdn Bhd (Clinipath), anak syarikat milik penuh Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics), untuk mengendalikan makmal perubatannya.

Ketua Pegawai  Eksekutif SLMC Dr Mohamed Ali Abu Bakar berkata kerjasama dengan Clinipath itu  akan membolehkan doktor dan pesakit SLMC mengakses lebih 1,300 penyelesaian pengujian patologi Clinipath yang komprehensif dengan  pantas dan mudah.

"Kami mempunyai komitmen yang kukuh dan dedikasi dalam menyediakan penjagaan perubatan dan kesihatan profesional untuk semua pesakit kami di  Bandar Sungai Long dan kawasan sekitarnya.

"Dengan Clinipath mengendalikan makmal perubatan kami adalah seiring dengan wawasan kami untuk menyediakan perkhidmatan sebaik mungkin kepada pesakit kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, dengan doktor yang semakin memerlukan  maklumat klinikal untuk mendiagnosis penyakit pesakit mereka dan untuk merawat mereka, ujian patologi lanjut Clinipath dapat membantu para doktor SLMC mengendalikan pemantauan kesihatan dan  memberi rawatan kesihatan yang lebih berkesan kepada pesakit mereka.

SLMC memulakan operasi pada 2012 dan kini menawarkan gabungan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif termasuk kemalangan dan kecemasan, perubatan umum, pembedahan umum, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, ENT dan oftalmologi.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment