Wednesday, June 14, 2017

Sultan Selangor Berbuka Puasa Bersama Rakyat Di Masjid Ara Damansara

PETALING JAYA, 13 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Ara Damansara, di sini.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM1.77 juta kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital di 17 buah hospital sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi meringankan beban pesakit yang kurang berkemampuan serta memerlukan pembiayaan rawatan hospital.

Baginda juga berkenan menerima zakat perniagaan bagi tahun berakhir 2016, daripada empat syarikat berjumlah RM8.8 juta serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada 264 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan fakir, miskin dan mualaf.

Empat syarikat itu ialah Kumpulan DRB-Hicom Berhad sebanyak RM5.5 juta, Universiti Mahsa (RM1.3 juta), Jakel Trading Sdn Bhd (RM1 juta) dan Sime Darby Property Berhad (RM1 juta).

Pada majlis sama, kerajaan Selangor turut menghulur sumbangan khas kepada masjid-masjid sekitar Petaling Jaya berjumlah RM70,000 iaitu Masjid Ara Damansara sebanyak RM10 ribu, Masjid Nurul Ehsan serta Masjid Aminah Binti Abdullah Al Muhairi, masing-masing sebanyak RM30 ribu.

Sultan Sharafuddin kemudiannya menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih berjemaah.

Turut hadir Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Hussin Mohd Ali.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment