Monday, June 5, 2017

PERANGSANG SELANGOR ANJUR KLINIK BADMINTON BERSAMA PELAJAR AUTISME

PETALING JAYA, 29 Mei (Bernama) -- Seramai 31 pelajar autisme daripada National Autism Society of Malaysia (NASOM) telah mengikuti klinik badminton yang dikendalikan oleh Jason Wong, bekas pemain perseorangan kebangsaan bertempat di Zelka Sports Center, Puchong.
 
Klinik badminton tersebut merupakan sebahagian program ‘Sukan Untuk Semua’ Rangsangan Sukan Selangor (RSS) di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).
 
Pengarah Bersekutu, Perhubungan Awam Media dan CSR Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, “Program ‘Sukan Untuk Semua’ dianjurkan bertujuan untuk memupuk budaya bersukan serta menggalakkan gaya hidup sihat selain menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, warga emas, orang asal, anak yatim serta Orang Kelainan Upaya (OKU) di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan”.
“Secara keseluruhan, sebanyak lapan (8) program seumpama ini akan dianjurkan di seluruh negeri Selangor dengan sasaran seramai 750 penyertaan bermula bulan Mei sehingga Disember 2017”, ujar beliau.           
 
“Menerusi sukan badminton khususnya, Perangsang Selangor telah membelanjakan dana bernilai RM766,685 melibatkan seramai 1,137 penyertaan di mana 211 daripada kalangan pelajar orang asal, 82 anak yatim, 51 warga emas, 64 golongan OKU dan selebihnya pelajar dari beberapa daerah di Selangor sejak tahun 2014”, tambah Mohd Fauzi.

Sejak program RSS dilancarkan ia telah berjaya menarik seramai 13,831 penyertaan pelbagai golongan menerusi 104 program yang telah dilaksanakan di seluruh negeri Selangor melalui 8 jenis sukan iaitu badminton, boling, bola sepak, renang, berbasikal, skuasy, sepak takraw dan memanah termasuk penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor untuk pelajar bawah 12 tahun dan Kejohanan Bola Sepak Dato’ Mokhtar Dahari bagi pelajar bawah 18 tahun.

Sementara itu, Pengurus Program Pembangunan dan Sokongan NASOM, Saffiza Anuar, menjelaskan, “Sememangnya kami mengalu-alukan klinik badminton ini kerana ia merupakan satu-satunya program seumpanya dan kali kedua dianjurkan oleh Perangsang Selangor. Program latihan seperti ini dapat membantu pelajar untuk melakukan senaman melalui aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada proses terapi untuk penghidap autism”.
 
“Menerusi program pertama yang diadakan pada tahun lalu, kami dapat melihat peningkatan ke atas beberapa pelajar dimana mereka lebih tenang dan fokus di dalam pembelajaran. Selain itu, kami juga dapat mengenal pasti beberapa pelajar yang mempunyai bakat di dalam sukan khususnya badminton”, kata Saffiza.
 
“Ibu bapa pelajar-pelajar juga turut gembira kerana anak-anak mereka berpeluang untuk mendapat pendedahan di dalam sukan, bergaul dengan masyarakat serta mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih profesional yang pernah mewakili Malaysia suatu ketika dahulu”.

SUMBER : Kumpulan Perangsang Selangor Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Fauzi Mohd Ghazali
Tel : 012 - 672 3632
Emel  : mohdfauzi@kps.com.my

--BERNAMA 

No comments:

Post a Comment