Wednesday, June 21, 2017

MyCreative Pelawa Orang Ramai Sertai Pertandingan Keseniannya

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) hari ini mempelawa warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas menyertai pertandingan 'The Craft Master 2017' dan 'Visual Arts Pitch (VAP) 2.0' yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM45,000.

Dalam kenyataan di sini, MyCreative berkata The Craft Master 2017 terbuka kepada warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas, bertujuan mencari bakat-bakat berpotensi serta produk yang dapat dikomersialkan.

Peserta boleh menggunakan apa juga bahan seperti kayu,logam, seramik dan fabrik untuk karya mereka namun kerja seni yang dihasilkan mestilah karya asli, mempunyai fungsian, boleh dijual, kreatif dan menarik.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM30,000 untuk empat pemenang.

VAP 2.0 pula terbuka kepada rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 35 tahun, dan peserta boleh menghantar lebih daripada satu kerja seni yang merangkumi lukisan, lakaran, ukiran atau fotografi asalkan ia karya asli.

Selain meraih hadiah wang tunai berjumlah RM15,000, peserta juga berpeluang mempamerkan karya mereka di galeri terkemuka.

Tarikh tutup pertandingan ialah 31 Julai bagi The Craft Master 2017 dan 31 Ogos untuk VAP 2.0.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1365090

No comments:

Post a Comment