Tuesday, June 20, 2017

PAAB Hulur Bantuan Sebanyak RM65,000 Kepada Rumah Anak Yatim, Masjid Dan Surau

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah menghulurkan bantuan sebanyak RM65,000 kepada rumah anak yatim, masjid serta surau terpilih pada sepanjang bulan Ramadan ini, kata Pengerusi PAAB Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Tajol berkata sumbangan itu bertujuan mengimarahkan bulan puasa dengan pengisian pelbagai program keagamaan dan amal jariah kepada golongan yang memerlukan.

"Antara penerima sumbangan ialah Pusat Jagaan Budaya Harapan di Rawang, Selangor yang menempatkan sejumlah 31 anak yatim, PAAB menyampaikan kelengkapan Aidilfitri seperti pakaian dan kasut kepada mereka.

"Selain itu, PAAB juga menyumbang kepada 11 buah masjid dan surau di sekitar Hulu Langat, Cheras dan Ampang bagi membantu ahli jawatankuasa masjid dan surau berkenaan menganjurkan pelbagai program keagamaan di kariah (kawasan) masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bubur lambuk kepada penduduk setempat di Masjid Taman Kosas, Ampang, dekat sini, hari ini.

Tajol berkata sumbangan kepada rumah anak yatim, masjid dan surau itu membuktikan keprihatinan PAAB terhadap golongan umat Islam sepanjang Ramadan kepada penduduk di Hulu Langat, Ampang, Cheras dan terutamanya penduduk sekitar kawasan yang terlibat dengan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment