Tuesday, June 20, 2017

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Masjid Al-Mursyidin Kampus Sultan Azlan Shah

TANJUNG MALIM, 20 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Al-Mursyidin Kampus Sultan Azlan Shah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Proton City di sini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Sultan Nazrin berkenan menanam pokok doa (Bucida variegated) di hadapan masjid berkenaan sebagai gimik pelancaran.

Masjid Al-Mursyidin adalah sebahagian daripada komponen projek pembangunan Kampus Sultan Azlan Shah yang dilaksanakan di bawah pakej Rancangan Malaysia Kesembilan bermula 2005 hingga 2010.

Pembinaan masjid berkeluasan 5003.30 meter persegi dengan kos RM10 juta itu siap pada 31 Jan 2012.

Antara kemudahan yang disediakan di masjid itu ialah bilik utiliti, bilik imam, bilik siak, bilik menunggu diraja, bilik khidmat pelajar serta bilik jenazah.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri berjumlah RM187, 600 menerusi peruntukan zakat di bawah asnaf fakir miskin Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kepada enam wakil penghulu mukim di daerah Batang Padang dan Muallim.

Sejurus selepas majlis pelancaran, Sultan Nazrin menyertai bacaan tahlil sebelum berbuka puasa bersama kakitangan jabatan dan agensi kerajaan Perak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment