Sunday, June 18, 2017

Program Imarah Ramadan Tingkatkan Bantuan Kepada Penduduk Luar Bandar

ISKANDAR PUTERI, 18 Jun (Bernama) -- Program kemanusiaan, Imarah Ramadan 1438H/2017 anjuran bersama Islamic Aids Malaysia (IAM) dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) menyasarkan untuk membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pendalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurans dan Takaful Wilayah Selatan Mohamad Yunos Mohd Sood berkata program bantuan pada tahun ini telah berjaya mencapai matlamatnya dengan membantu lebih 5,000 golongan memerlukan.

"Kita telah memperuntukkan sebanyak lebih kurang RM400,000 untuk membantu golongan-golongan penduduk luar bandar, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang sukar mendapat akses kepada kemudahan.

"Pada kali ini kita telah membantu lebih kurang 5,000 menerusi program yang kita jalankan di Kuala Lumpur, Klang, Kedah, Perak sebelum kita ke Johor. Kita juga ada menjalankan program bersama masyarakat Rohingya, selain golongan orang kelainan upaya (OKU)," katanya ketika ditemui Bernama selepas menyampaikan bantuan kepada 250 penduduk Kampung Pok, Gelang Patah, di sini malam tadi.

Antara bantuan yang diberikan berupa pek makanan keperluan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, dan makanan dalam tin selain wang tunai RM50.

"Kita juga telah mengadakan program yang sama di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak selain membantu golongan yang susah di Aceh, Sri Lanka, Nepal, dan Selatan Thailand," tambahnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment