Thursday, October 6, 2016

KEMENTERIAN KEWANGAN LANTIK KER1M SEBAGAI PENASIHAT INSURANS KEPADA GLC, GLIC

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1Malaysia
(KER1M) telah memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk membantu
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan
(GLIC) dalam memberikan khidmat nasihat berkaitan insurans.
    Dalam satu kenyataan, KER1M berkata, penglibatan persatuan tersebut adalah
untuk memastikan aliran insurans di antara syarikat insurans dan syarikat GLC
dan GLIC dilaporkan mengikut perjanjian.
    "Ini akan membolehkan kerajaan memperoleh hasil optimum daripada syarikat
yang diperbadankan Kementerian Kewangan serta memperoleh keuntungan daripada
pengurusan pengendalian insurans yang lebih efektif dan efisien," katanya.
    Konsultan KER1M yang berpengalaman luas dalam industri insurans dapat
menawarkan perkhidmatan ini tanpa sebarang kos ke atas syarikat GLC dan GLIC.
    Selain itu, segala pemantauan penjimatan kos akan dibuat bersama Jabatan
Insurans dan Jabatan Kewangan syarikat GLC dan GLIC bagi mamatuhi keperluan
polisi insurans masing-masing.
    "KER1M diarah untuk menghubungi syarikat GLC dan GLIC agar pelantikan ini
dapat diuruskan bagi membolehkan konsultan insurans KER1M membantu dalam
perlindungan insurans.
    "Pelantikan ini tidak menjejaskan kontrak, kos perbelanjaan, perolehan
kerajan, urusan harian dan perlindungan insurans," katanya.
    Selain itu, menurutnya, KER1M juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia dalam aspek pengurusan dengan integriti serta mengikut garis
panduan ditetapkan.

    -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment