Wednesday, October 19, 2016

EnergyTransformers Dapat Anugerah Kelestarian Malaysia 2016

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- EnergyTransformers (M) Sdn Bhd telah memenangi Anugerah Kelestarian Malaysia untuk Ekonomi Kitaran dalam satu malam gala yang dianjurkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia Belanda pada 6 Okt lepas.

EnergyTransformers, yang merupakan sebahagian daripada Transmare Group yang berpangkalan di Rotterdam (Belanda) terlibat dalam membangunkan rantaian bekalan serta memenuhi keperluan tuntutan pasaran tenaga.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata ekonomi kitaran adalah berdasarkan kepada pemakaian semula semua bahan yang terlibat dalam sistem penggunaan dan keseluruhan pengeluaran.

Pengiktirafan itu diterima berikutan kesan keusahawanan yang tinggi serta strategi yang didorong oleh tindakan bagi menangani cabaran alam sekitar yang berkaitan dengan kitar semula sisa pertanian, khususnya dalam ladang kelapa sawit.

Menurut syarikat itu, ia bersaing dengan finalis lain seperti iaitu Kloth (benang PET), Sime Darby Property (pembangunan masyarakat) dan BioValence (sistem penternakan udang biofloc) dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan ekonomi yang berkitar.

"Keluaran EnergyTransformers adalah berdasarkan kepada penukaran bahan-bahan buangan (dari ladang kelapa sawit) menjadi BioChar, sejenis bahan pembaik yang meningkatkan kualiti tanah sehingga mampu menambah hasil pertanian.

"Ia juga mengubah sisa-sisa pertanian kepada BioCoal berkalori tinggi, sesuai untuk dandang loji janakuasa," katanya.

EnergyTransformers berkata BioCoal mendapat permintaan yang tinggi di seluruh dunia kerana ia mengurangkan penghasilan karbon.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment