Tuesday, October 18, 2016

20,000 Terima Rawatan Di Hospital Mata Tun Hussein Onn Sejak Dekad Lalu



KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn (THONEH) telah menyediakan rawatan mata kepada lebih 20,000 orang di kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak lebih satu dekad yang lalu.

Pada 9 Okt, THONEH bekerjasama dengan Kelab Lions Petaling Jaya (PJLC) bagi menganjurkan edisi ke-12 acara "Blind Leading the Blind Charity Walk."

Acara itu, sebahagian daripada program SightFirst PJLC, bertujuan untuk mengumpul dana untuk membantu golongan miskin dan yang memerlukan mendapat rawatan mata.

Pengurus Besar THONEH, Dr Norasidi Salim Al-Haj berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa THONEH berbangga membantu PJLC dan matlamat untuk memupuk kesedaran mengenai kebutaan.

Para peserta berkumpul di Dataran Petaling Jaya untuk acara jalan kaki sejauh 3 kilometer itu dengan peserta ditutup mata, dipandu oleh peserta buta.

Acara itu yang mendapat sokongan Majlis Bandaraya Petaling Jaya diadakan bagi memperingati Hari Penglihatan Sedunia yang disambut setiap tahun pada 13 Okt.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment