Friday, October 7, 2016

GMCI Tandatangani MoU Dan MoA Dengan 3 Firma Malaysia, 2 China

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- GMCI Corporation, kumpulan pemegangan pelaburan yang diperbadankan di Amerika Syarikat, dengan 10-15 peratus pemegang saham tempatan, akan melabur dan menjalin usaha sama dalam projek bersama tiga syarikat Malaysia dan dua syarikat China.

GMCI berkata ia akan menandatangani memorandum perjanjian untuk mengambil alih sebahagian YCL Precision Engineering Sdn Bhd, menjalin usaha sama dengan Era Estetika Sdn Bhd, serta melabur dalam projek hotel Heng Yue Group di Dongguan, China.

"Perbadanan itu juga akan menandatangani memorandum persefahaman dengan HLC Holding Bhd dan Aladdin Information Technology Co Ltd," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Calvin Chin berkata keputusan untuk melabur di Malaysia adalah berasaskan kedudukan kukuh negara ini serta lokasinya di peringkat serantau.

"Kami menyokong portfolio bagi peluasan perniagaan menerusi rangkaian kukuh dan kepakaran kami di rantau ini.

"Saya juga gembira untuk mengumumkan mengenai pembukaan pejabat pertama kami di Asia Tenggara di Kuala Lumpur dan memperkenalkan pasukan pengurusan tempatan yang berdedikasi yang akan memantau prestasi setiap entiti," katanya.

Usaha sama dengan HLC Holding pula membabitkan pembangunan blok pangsapuri perkhidmatan 40 tingkat di kaki bukit Genting Highlands, manakala bersama Heng Yue Group, GMCI akan melabur dalam projek hotel dekat Huayang Lake.

GMCI, menerusi anak syarikatnya Biosecret Beauty Wellness, juga akan menjalin usaha sama dengan Era Estetika bagi membangunkan butik spa perubatan.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment