Friday, May 26, 2023

THE LAB, FOOD AND FUN GARDEN TARIKAN TERBAHARU DI LANGKAWI SEMPENA LIMA'23

The Langkawi Art Box (The LAB) Food and Fun Garden terletak bertentangan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan jarak berjalan kaki ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.

LANGKAWI, 26 Mei (Bernama) -- The Langkawi Art Box (The LAB) Food and Fun Garden telah mula dibuka kepada orang ramai bersempena dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang telah membuka tirai pada 23 Mei 2023 lalu.
 
The LAB Food and Fun Garden menawarkan pelbagai tarikan terbaharu di Langkawi seperti gerai makanan, kedai cenderamata, ruang santai yang luas dan kemudahan lain seperti surau serta tempat bersantai dikelilingi dengan kedai kabin kontena yang menarik.
 
Bertempat di lokasi yang strategik iaitu bertentangan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dengan jarak berjalan kaki ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, The LAB bakal menjadi laluan pintu masuk utama pelancong untuk membeli belah, di samping menjadi tempat alternatif untuk pengunjung bersantai selepas menonton pertunjukan udara yang berlangsung semasa acara LIMA’23.
 
Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), YM Raja Shahreen Raja Othman, antara objektif utama The LAB Food and Fun Garden diperkenalkan adalah untuk menyediakan platform dan ruang untuk para peniaga tempatan menjual produk dan perkhidmatan di Langkawi.
 
“Kawasan tarikan terbaharu ini akan terus beroperasi selepas berakhirnya acara LIMA’23, dengan Kumpulan BDB menyasarkan The LAB bakal menjadi tempat persinggahan atau ‘pit-stop’ untuk penumpang domestik atau antarabangsa beristirehat dan membeli-belah sebelum berlepas menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.”

No comments:

Post a Comment