Friday, May 26, 2023

TARIAN TRADISIONAL INDIA - "TALA NATYAM THE DANCE JOURNEY"


KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), terus komited dalam menyemarak dan memartabatkan seni budaya negara dengan pelaksanaan Panggung Seni Tradisional 2023 (PST2023). Program ini merupakan usaha bagi memastikan kelestarian seni persembahan tradisional dapat diteruskan. Ia juga sebagai langkah pemeliharaan dan pengekalan seni warisan negara yang berupaya menjadi serampang dua mata dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab persembahan tradisional dan salah satu produk pelancongan negara.

JKKN sentiasa memperlihatkan keindahan kebudayaan dan kesenian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia dalam setiap siri persembahan dalam Panggung Seni Tradisional (PST). Program ini bukan sekadar persembahan ‘sehala’ tetapi merupakan serampang dua mata kepada kumpulan atau persatuan seni budaya untuk mempelajari pelaksanaan sesebuah produksi bagi sesuatu persembahan.
 
Memasuki siri ke-2 persembahan, PST 2023 akan diteruskan dengan persembahan tarian tradisional india iaitu “Tala Natyam-The Dance Journey” daripada Angika Fine Arts. Persembahan tarian tradisional India ini akan menemui penonton selama dua (2) hari pada 26 dan 27 Mei 2023 (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman (MaTIC) Kuala Lumpur.
 
Para penonton akan dapat menyaksikan persembahan gabungan tarian tradisional India yang memukau, dilengkapkan dengan pelbagai segmen bentuk tarian tradisional. Persembahan merangkumi beberapa genre yang begitu terkenal di Malaysia seperti Odissi oleh Angika Fine Arts, Bharatanatyam dan Mohiniattam  oleh Vehaara Arts, Kuchipudi oleh Telugu Association of Malaysia (TAM).
 
Dalam segmen pertama, Tala Natyam akan mempersembahkan dua jenis tarian yang bertajuk “NAMAMI MANGALACHARAN” dan “ARABHI PALLAVI”. Kemudian bagi segmen kedua pula dengan tajuk “MOHINIYATTAM JATISHWARAM”. Persembahan diteruskan dengan tarian berjudul “JATISHWARAM” dalam segmen ketiga. Untuk segmen keempat, Tala Natyam – The Dance Journey membawakan kepada penonton dengan tiga (3) jenis tarian iaitu “PUSHPANJALI”, “GANESHA GAUTAVAM” dan “KALYANI JATHISHWARAM”.

Persembahan selama 2 hari ini akan menampilkan gabungan tiga (3) orang pengarah persembahan daripada tiga (3) buah sekolah kesenian India ini iaitu Nrityatara Shri Kunaratnam Velautham (Vehaara Arts)Nrutyacharya Lawrence Sackris (Angika Fine Arts) dan Natya Visharadha Thachayani Ramanaidu (Telugu Association of Malaysia (TAM). Persembahan selama 90 minit ini akan dipersembahkan oleh  64 orang penari yang berusia daripada lima (5) hingga 45 tahun.

Untuk menyaksikan persembahan memukau ini, orang ramai boleh mendapatkan tiket menonton dengan menghubungi urus setia atau hadir di Dewan Tunku Abdul Rahman, (MaTIC).   Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan https://www.facebook.com/PanggungSeniTradisionalTraditionalArtsShowcase?mibextid=ZbWKwL atau www.facebook.com/mysenibudaya dan www.facebook.com/PanggungSeniTradisionalTraditionalArtsShowcase  
 
Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

SUMBER: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara


http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17150

No comments:

Post a Comment