Thursday, December 15, 2022

PASUKAN NTHU MEMENANGI KEJOHANAN DI SCC

Penasihat pasukan NTHU, Jerry Chou (dua dari kanan) bersama ahli pasukan (kanan ke kiri) Tsai, Wu, Kuo, Ting, Chang, Huang dan Mou (berkerusi roda). (Foto: Universiti Kebangsaan Tsing Hua)


HSINCHU, Taiwan, 15 Dis (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Pasukan pelajar daripada Jabatan Sains Komputer di Universiti Kebangsaan Tsing Hua (NTHU) di Taiwan telah memenangi kejohanan dalam Pertandingan Kluster Pelajar Superkomputer Dunia (SCC) yang diadakan di Dallas, Amerika Syarikat. Ini ialah kejohanan kelima yang dimenangi oleh pasukan NTHU di dua pertandingan superkomputer terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Penasihat pasukan itu ialah Profesor Jerry Chou. Enam ahli pasukan terdiri daripada peringkat senior Jabatan Sains Komputer iaitu Mou Chan-yu, Chang Fu-chiang dan Ting Hsu-tzu, manakala peringkat junior Jabatan Sains Komputer pula ialah Huang En-ming, Kuo Pin-yi dan Wu Pang-ning. Jurulatih pasukan itu ialah Tsai Kuo-Guang, pelajar siswazah daripada Jabatan Sains Komputer dengan pengalaman luas dalam pertandingan komputer.

SCC memberikan peluang kepada pelajar kolej untuk menguji kemahiran mereka dalam tiga bidang: integrasi perisian dan perkakasan, prestasi pengaturcaraan dan pengetahuan silang disiplin. Memandangkan pertandingan berlangsung selama 56 jam tanpa gangguan, keadaan ini juga memberikan cabaran yang ketara kepada stamina dan keupayaan peserta bekerja di bawah tekanan. Apabila keputusan diumumkan, Chou dan pasukannya bersorak dengan amat gembira.

Chou berkata bahawa beliau telah memimpin pasukan itu selama sepuluh tahun dan pada tahun ini mereka menghadapi banyak kejadian yang tidak diingini. Ketua pasukan, Mou Chan-yu, patah kaki akibat kemalangan jalan raya seminggu sebelum pertandingan dan beliau hampir-hampir terpaksa dikeluarkan. Lebih-lebih lagi, beberapa jam sebelum pertandingan bermula, mereka mendapati bahawa beberapa kelengkapan komputer mereka rosak semasa penghantaran, tetapi mereka berjaya mengatasi masalah tersebut dengan melaraskan konfigurasi komputer dan strategi pertandingan mereka. Namun akhirnya, pasukan itu berjaya mengatasi situasi tersebut dan menamatkan pertandingan dengan cemerlang.

Semasa menjalani pembedahan, kapten pasukan, Mou terpaksa menyerahkan kerja membina sistem kepada Kuo Pin-yi buat sementara waktu. Beliau bernasib baik kerana doktor memberikan kebenaran kepada Mou untuk menyertai pertandingan dengan bantuan kerusi roda. Meskipun mengalami kesakitan yang teruk, beliau berjaya memimpin pasukan mengharungi pelbagai situasi sepanjang pertandingan 3 hari itu berlangsung, termasuk usaha mereka mencari penyelesaian kepada Aplikasi Misteri.

No comments:

Post a Comment