Friday, December 9, 2022

MAJLIS PEMBUKAAN DIADAKAN BAGI PUSAT UNTUK PENDIDIKAN PEMBEDAHAN DAN PENYELIDIKAN NTHU




HSINCHU, Taiwan, 8 Dis (Bernama-BUSINESS WIRE) --
 Majlis pembukaan bagi Universiti Kebangsaan Tsing Hua (NTHU) di Pusat untuk Pendidikan Pembedahan dan Penyelidikan Taiwan, yang menelan belanja lebih daripada NT$100 juta, diadakan baru-baru ini. Majlis tersebut termasuk dengan upacara memperingati penderma kadaver. Sebagai menunjukkan rasa berterima kasih, kumpulan pelajar pertama dalam Program Pasca Ijazah Sarjana Muda dalam Perubatan juga menawarkan bunga loceng Cina kepada penderma.

Di majlis tersebut, mantan presiden NTHU, Hocheng Hong menandatangani perjanjian pendermaan pertama, yang menyatakan bahawa penderma telah berikrar untuk mendermakan mayatnya tanpa syarat bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan selepas kematian, dalam usaha memajukan sains perubatan.

Presiden NTHU pada masa ini, iaitu W. John Kao mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada pendidikan perubatan di NTHU, termasuk mendapatkan NT$2 bilion, yang telah membolehkan NTHU menyediakan bilik darjah anatomi yang canggih. Selain itu, NTHU juga telah melantik tiga fakulti sepenuh masa dan dua fakulti sambilan dalam anatomi manusia---asas pendidikan perubatan.

Bagi pihak NTHU, Kao dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendermakan kadaver mereka, serta ahli keluarga mereka kerana bersetuju dengan hasrat orang kesayangan mereka memberikan manfaat kepada pendidikan perubatan. Kao berkata bahawa kadaver sangat penting untuk pendidikan perubatan dan membantu pelajar memperoleh pengetahuan yang diperlukan untuk merawat ramai pesakit dalam kerjaya perubatan mereka pada masa hadapan.

Setiap pelajar Program Pasca Ijazah Sarjana Muda dalam Perubatan menawarkan bunga loceng Cina kepada penderma Zhou Zhen-yu dan Liu Gui-zhen, sambil menyanyikan lagu “Grateful Heart” bersama-sama untuk menyatakan rasa berterima kasih yang tidak terhingga. Seperti yang dikatakan oleh wakil pelajar Shen Ho-chien, “Pengakhiran hayat anda ialah titik permulaan pendidikan perubatan kami. Oleh itu, kami memulakan pengajian kami dengan berterima kasih kepada anda, serta penuh rasa rendah hati dan hormat.”

Hocheng berkata bahawa kehidupan adalah seperti bot yang sedang berlayar di atas air dan akan tiba suatu hari apabila bot itu kembali ke pantai; pada masa itu, beberapa insan yang pemurah memilih untuk mendermakan bot tersebut bagi digunakan oleh orang lain dan tidak membuangnya begitu sahaja. Beliau juga menekankan bahawa beliau amat berterima kasih untuk semua golongan profesional perubatan yang telah membantunya dalam banyak cara dan berasa gembira kerana telah berpeluang menyokong pendidikan perubatan.

Hocheng mendapati bahawa proses yang amat rumit untuk mengatur program perubatan ini akhirnya membuahkan hasil, memandangkan pada masa ini kumpulan pelajar perubatan pertama telah mendaftar dan dan usaha di Hospital NTHU di Taoyuan sedang dijalankan. Beliau juga berkata bahawa beliau gembira menandatangani perjanjian pendermaan dan melihat perkembangan itu sebagai pernyataan sokongannya yang tidak berbelah bagi untuk pendidikan perubatan di NTHU.

Seorang daripada ahli fakulti program ialah Chen Shih-chieh, yang mempunyai pengalaman 28 tahun mengajar anatomi kasar. Beliau berkata bahawa kemudahan canggih yang luas di Pusat untuk Pendidikan Pembedahan dan Penyelidikan yang baharu siap itu menyediakan persekitaran pembelajaran optimum, bebas daripada apa-apa bau formalin. Makmal pembedahan dan bilik kadaver mengekalkan tekanan negatif sepanjang hari dan dilengkapi dengan penyaman udara, serta sistem masa nyata untuk memantau kepekatan formaldehid.

Teks bahasa sumber asal pengumuman ini adalah versi rasmi yang sahih. Terjemahan yang disediakan hanya sebagai penyesuaian sahaja, dan hendaklah di silang-rujuk dengan teks bahasa sumber, yang satu-satunya versi teks dengan kesan undang-undang. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16609

No comments:

Post a Comment