Friday, December 2, 2022

MPC SOKONG CADANGAN KEPERLUAN PASUKAN PETUGAS KHAS BAGI MENANGANI KERENAH BIROKRASI

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyokong cadangan mantan Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali mengenai penubuhan pasukan tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan kerenah birokrasi yang boleh merencatkan pemulihan ekonomi negara.
 
MyMudah telah diperkenalkan melalui Mesyuarat EAC dengan objektif yang sejajar dengan cadangan Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali untuk menyelesaikan isu berkaitan kerenah birokrasi. Mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 November 2021 telah bersetuju dengan penubuhan Unit MyMudah di semua Kementerian, agensi Kerajaan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta persatuan peniagaan bagi membantu semakan peraturan secara terancang dan mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar terhadap perniagaan.
 
Ketua Pengarah Perbadanan MPC, YBhg. Dato' Abdul Latif Haji Abu Seman berkata MyMudah menangani kerenah birokrasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan serta disokong oleh input daripada pihak industri, membolehkan penyelesaian dirangka berasaskan bukti yang jelas serta memudahkan pelaksanaan. 
 
“Hingga kini, lebih 100 Unit MyMudah telah ditubuhkan di pelbagai peringkat bagi menyelesaikan isu berkaitan kerenah birokrasi. Kerjasama erat antara sektor awam di pelbagai peringkat bersama sektor swasta amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan usaha ini.
 
"MPC bertindak sebagai penggerak dan memberikan khidmat nasihat kepada Unit-Unit MyMudah di dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif ini. Pelaksanaan MyMudah dipantau secara langsung oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan melibatkan penyertaan pemegang taruh dan pihak berkepentingan dari sektor awam dan swasta,” katanya.
 
Menurut beliau, penambahbaikan ini akan meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan kebertanggungjawaban dalam penyampaian peraturan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan, dan membawa kepada ekosistem peraturan negara yang lebih cekap dan berkesan.
 
Antara kejayaan MyMudah ialah Projek E10: Permit Pembinaan Ekspres yang mempercepatkan pengeluaran permit pembinaan dari 24 bulan kepada hanya 10 bulan dan projek meningkatkan kecekapan pergerakan dokumen di kilang berstatus Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) dari tiga hari kepada hanya satu minit.

Orang ramai dan komuniti perniagaan dialu-alukan untuk memberi maklumbalas isu dan cabaran berkaitan peraturan perniagaan yang tidak wajar melalui Portal MyMudah (https://mymudah.gov.my/).
 
Mengenai  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.
 
Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16587

No comments:

Post a Comment