Saturday, April 3, 2021

TECHNOLOGY PARK MALAYSIA SOKONG PLATFORM PASAR KREATIF USAHAWAN TEMPATAN

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Penganjur pasar kreatif Tempatan Street kembali menawarkan peluang untuk komuniti belia serta usahawan tempatan mempromosi produk dan idea meliputi pelbagai bidang seperti rekaan, muzik, fesyen dan budaya.

 
Program selama dua hari akan berlangsung di kompleks rekreasi Technoflex, Technology Park Malaysia di Bukit Jalil pada 3 dan 4 April 2021, dari jam 10 pagi hingga 9 malam.
 
Lokasi yang ditaja oleh Technology Park Malaysia (TPM) Corporation Sdn Bhd tersebut merupakan sokongan TPM terhadap usaha memperkasa semula golongan usahawan B40 serta industri kecil sederhana (IKS) yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
 
Selain memartabatkan industri seni kreatif tempatan, TPM mahukan kompleks Technoflex menjadi lokasi pilihan untuk pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi santai sesuai untuk seisi keluarga, pada kadar sewa yang berpatutan.
 
Menurut Pengarah Tempatan Street, Mohd Nasir Abdul Rashid, program Tempatan Street kali ini dijalankan secara sederhana berbanding tahun-tahun sebelum memandangkan Kuala Lumpur masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
 
Walaubagaimanapun, faktor tersebut tidak menghalang penyertaan vendor sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang memerlukan platform sebegini untuk kelangsungan perniagaan mereka.
 
“Sokongan rakyat Malaysia untuk menghargai jenama produk gaya hidup dan usaha kreatif belia tempatan amat diperlukan terutamanya pada masa ini” tambah beliau.
 
Antara artis yang akan membuat penampilan isitimewa adalah Nasir Jani, Pyan Habib, Nabil Ahmad, Radhi & Qi OAG, Andy Flop Poppy dan Pretty Ugly.
 
Masuk ke Tempatan Street adalah percuma. Selain aktiviti jualan jenama tempatan dan penampilan artis, pengunjung juga akan disajikan dengan pertandingan skateboard, konvoi Vespa, aktiviti berbasikal, jualan makanan dan carboot sale di sepanjang festival itu.
 
Technology Park Malaysia Sdn Bhd, sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, mempunyai infrastruktur bersepadu, kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membantu usahawan yang berminat mengkomersialkan idea mereka dalam tiga kelompok industri, iaitu ICT, Kejuruteraan dan Bioteknologi.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14423

No comments:

Post a Comment