Tuesday, April 6, 2021

MARDI ANJUR PERSIDANGAN BUAH-BUAHAN KEBANGSAAN 2021

SERDANG, 6 April (Bernama) -- YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I  pada hari ini telah merasmikan Persidangan Buah-buahan Kebangsaan 2021 (BUAH 2021) dan turut melancarkan Teknologi Baja Pintar  GreenCoat MARDI di Ibu Pejabat MARDI, Serdang.

Persidangan anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan International Tropical Fruits Network (TFNet) disertai 300 dari penggubal dasar, pengusaha ladang, ahli akademik, pengusaha produk dan para NGO yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memajukan industri buah-buahan di Malaysia. Bertemakan ‘Buah-buahan: Ke arah memperkasakan industri pertanian negara’, BUAH 2021 berlangsung bermula hari ini sehingga 8 April 2021. Persidangan ini bertujuan untuk menilai dan membincangkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport buah-buahan tempatan.

“Industri buah-buahan negara merupakan industri yang semakin berkembang pesat. Malaysia berupaya menghasilkan 1.5 juta tan buah-buahan setahun di mana tahap sara diri adalah 100% bagi buah-buahan utama kecuali mangga. Selain mengurangkan kebergantungan kepada import, strategi perlu diatur bagi meningkatkan lagi daya saing buah-buahan di persada antarabangsa,” kata Ahmad bin Hamzah di dalam ucapannya.

Beliau turut mengulas peranan utama MARDI dalam meningkatkan industri buah-buahan dengan pelbagai teknologi yang berkonsepkan ‘From Lab to Table’ atau ‘Dari Makmal ke Meja Hidangan’.

“MARDI telah melancarkan pelbagai klon dan varieti baharu buah-buahan seperti klon belimbing Bintang Mas pada tahun 2019 dan rambutan Mutiara Merah dan Mutiara Wangi pada tahun 2018. Selain daripada itu, MARDI juga menghasilkan klon durian yang sangat bermutu iaitu MDUR 88, nanas Josapine, betik Eksotika I, Eksotika II, limau bali Melomas serta ciku Mega.”

Kajian bagi pengawalan penyakit dan perosak buah-buahan tempatan turut menjadi tumpuan dalam penyelidikan MARDI bermula dari kejatuhan pengeluaran dan eksport betik akibat masalah penyakit Mati Rosot Bakteria. Salah satu hasil penyelidikan MARDI yang telah berjaya membantu petani dalam mengawal serangan penyakit melalui teknologi Kerintangan Sistematik Teraruh atau ISR pada tanaman betik dengan produk yang dinamakan ‘Dieback Buster’.

Selain daripada itu, beliau juga turut menggalakkan penyelidikan MARDI dalam aktiviti penyelidikan IR 4.0 yang mana teknologi 5G telah mula diterokai hasil kerjasama pintar antara MARDI dan MAXIS.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Agro Makanan Negara 2.0, kerajaan akan terus memacu pemodenan dalam subsektor pertanian dan makanan dengan memanfaatkan Revolusi Perindustrian 4.0 atau IR4.0” tambah beliau.

Pada majlis berkenaan, Haji Ahmad bin Hamzah turut melancarkan Teknologi Baja Pintar Baja Pintar GreenCoat bagi tanaman mangga dan betik hasil penyelidikan MARDI. Teknologi ini dapat membantu para pengusaha dan pengeluar buah-buahan untuk meningkatkan hasil dan kualiti buah di samping mengurangkan kos pengeluaran dan secara tidak langsung dijangka akan mengurangkan harga jualan mangga dan betik.

Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I. Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff bin Mohd Noor, Ketua Pengarah MARDI; YBrs. Tn. Hj. Tapsir bin Serin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Operasi MARDI; Dr. Johari bin Sarip, Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur; Barisan Pengurusan Kanan MARDI; dan Pegawai – Pegawai Kanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

SUMBER: Malaysia Agricultural Research and Development Institute (MARDI)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Jafni Johari Jiken

Pegawai Perhubungan Awam
Tel: +6016-980 5587
E-mel: jafni@mardi.gov.my

Nama: Siti Aishah Mohd Shari
Tel: +6012-621 1371 
E-mel: maishah@mardi.gov.my

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment