Friday, April 23, 2021

KONVENSYEN KELUARGA SAKINAH CAPAI 15 RESOLUSI BAGI MENDEPANI CABARAN DAN ISU-ISU SEMASA KEKELUARGAAN

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Ibu bapa perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta menghayati konsep Qawwam (kepimpinan) khususnya dalam hal ehwal kekeluargaan bagi menghadapi cabaran mendepani isu - isu semasa dalam institusi keluarga.

Pengetahuan ini penting untuk memberikan kesedaran tentang isu-isu kekeluargaan seperti cabaran akidah moden, teknologi gajet yang menuntut kebijaksanaan ibu bapa dalam mengharungi cabaran dunia langit terbuka pada masa kini.

Menurut Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam), Pusat Islam Universiti, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ustazah Ainul Kauthar Karim, setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga amat mengimpikan lahirnya sebuah keluarga yang bahagia.

Katanya, sesebuah institusi keluarga yang bahagia lahir sekiranya sebuah keluarga itu dipacu mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Namun mutakhir ini, kita sedia maklum pelbagai permasalahan dalam institusi kekeluargaan sering berlaku dalam masyarakat dan keadaan ini amat membimbangkan.

“Justeru, Program Konvensyen Keluarga Sakinah bertemakan Cabaran Mendepani Isu-Isu Semasa Kekeluargaan diadakan bagi mengupas isu-isu semasa bagi mencari solusi-solusi terbaik melalui pendekatan Islam bagi menghadapinya,” katanya.

Konvensyen Keluarga Sakinah 2021 anjuran Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK)  itu telah bersiaran secara langsung menerusi platform Facebook Live Rasmi UMK, pada 11 hingga 12 April 2021.



No comments:

Post a Comment