Wednesday, April 7, 2021

MDV TERIMA PENGIKTIRAFAN SEBAGAI PEMBIAYA TENAGA LESTARI TERKEMUKA DI NATIONAL ENERGY AWARDS 2020

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), anak syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] dan agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menerima pengiktirafan bagi Anugerah Khas Pembiayaan Tenaga Lestari di bawah kategori Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) di Majlis Apresiasi National Energy Awards 2020 (NEA 2020) yang berlangsung semalam.

 
NEA adalah anugerah tahunan yang mengiktiraf pencapaian dan amalan terbaik sektor awam dan swasta dalam memacu agenda tenaga lestari negara. Diperkenalkan pada tahun 2018, NEA adalah sebahagian daripada usaha pihak Kerajaan dalam mempromosikan sektor Kecekapan Tenaga (EE) dan Tenaga Diperbaharui (RE).
 
Pada Majlis Apresiasi NEA 2020 yang diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur tersebut, MDV diiktiraf sebagai antara pembiaya tenaga lestari terkemuka di Malaysia berdasarkan prestasi MDV di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) di mana MDV merupakan pembiaya tertinggi skim tersebut dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM912.0 juta yang telah diluluskan bagi 64 syarikat teknologi hijau semenjak skim itu mula diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 2010.
 
Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun berkata, “MDV amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh NEA kepada kami atas usaha kami dalam membiayai projek tenaga lestari di Malaysia. Sebagai pembiaya teknologi negara, MDV amat prihatin terhadap perkembangan sektor teknologi hijau di Malaysia dengan menawarkan program pembiayaan yang fleksibel dan inovatif kepada syarikat atau projek berkaitan teknologi hijau. Malah, MDV merupakan antara pembiaya terawal di negara ini yang menyediakan kemudahan pembiayaan bagi projek berkaitan teknologi hijau walaupun ketika sektor ini mula-mula diperkenalkan, akses pembiayaan untuk sektor ini begitu sukar didapati kerana kurangnya pemahaman tentang konsep tenaga hijau di Malaysia serta pelbagai risiko pasaran dan kredit yang berkaitan.”
 
Azwan menambah bahawa MDV sentiasa berdiri di belakang Kerajaan dalam menyokong agenda kelestarian negara dan percaya bahawa teknologi hijau mempunyai peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan untuk pembangunan negara yang berterusan.
 
Setakat ini, MDV telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM1,203.7 juta bagi 84 projek teknologi hijau yang merangkumi RM936.4 juta bagi projek tenaga boleh diperbaharui, RM128.0 juta bagi projek kecekapan tenaga, RM89.8 juta bagi projek pengurusan air dan sisa, dan RM139.3 juta bagi pelbagai projek hijau yang berkaitan.
 
Majlis penganugerahan itu juga menyaksikan pelanggan MDV, Concord Green Energy Sdn Bhd menjadi pemenang bagi kategori RE (grid kebangsaan) untuk projek Loji Biogas Lepar Hilir di Pahang, sementara Lotus West Sdn Bhd dan Cenergi EE Sdn Bhd masing-masing menerima anugerah di bawah kategori Energy Performance Contracting (EPC). Sebagai rakan pembiayaan strategik syarikat-syarikat tersebut, MDV amat berbangga dengan pencapaian cemerlang syarikat-syarikat tersebut dalam sektor RE & EE, serta menganggap ia sebagai indikator kepada kepakaran MDV dalam mengenal pasti projek-projek yang berpotensi tinggi, yang diperolehi melalui pelaksanaan proses ketekunan wajar yang teliti serta penilaian terperinci terhadap unjuran prestasi perniagaan.
 

Mengenai MDV – Pembiaya Teknologi Negara
MDV merupakan anak syarikat milikan penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan mandat khusus untuk membantu pembangunan sektor teknologi di Malaysia melalui pembiayaan berjangka atau pusingan bagi projek dan kontrak teknologi. Peranan strategik MDV dalam ekosistem pembiayaan teknologi di Malaysia ditakrifkan oleh pendekatannya kepada pembiayaan yang berbeza daripada institusi kewangan lain. Kelebihan MDV adalah dalam membantu membiayai syarikat-syarikat berasaskan teknologi baru yang sukar memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan tradisional kerana model perniagaan mereka yang baru, ketiadaan rekod prestasi operasi dan ketiadaan cagaran. Bermula dengan sektor ICT, MDV kini telah meluaskan mandatnya untuk turut menyediakan pembiayaan kepada syarikat-syarikat dalam sektor Teknologi Hijau, Bioteknologi dan Teknologi Baru (Emerging Technology). Mandat ini menyasarkan syarikat yang tidak mempunyai akses kepada pembiayaan komersial, terutamanya syarikat perusahaan kecil & sederhana (“PKS”), di mana sehingga kini MDV telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM11.98 bilion kepada lebih 777 syarikat bagi pelaksanaan lebih 897 projek berkaitan teknologi. Dengan pembangunan teknologi dan digital yang semakin pesat, serta usaha berterusan Malaysia dalam menjadi sebuah negara maju, MDV akan kekal memainkan peranan penting khususnya dalam pembiayaan bidang teknologi baru dan dalam mencapai visinya sebagai Pembiaya Teknologi Negara. 
 
Untuk maklumat lanjut, sila lawati http://www.mdv.com.my/ 

Sila klik di sini untuk foto dan kapsyen:
https://www.dropbox.com/sh/dtxllcjalqtxs74/AAD1hPTgEzTmUQD3oMNQQ8Yta?dl=0 

Sumber: Malaysia Debt Ventures Berhad 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14434

No comments:

Post a Comment