Monday, September 28, 2020

UMK TERIMA ANUGERAH SIJIL AUDIT BERSIH LIMA TAHUN BERTURUT-TURUT

 PUTRAJAYA, 28 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terima anugerah Sijil Audit Bersih Bagi Penyediaan Penyata Kewangan Tahun 2019 dari Jabatan Audit Negara.


Majlis penyerahan sijil itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Dato’ Che Isa Che Kob kepada Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, di Pejabat Ketua Audit Negara, Jabatan Audit Negara, Putrajaya, pada 13 Ogos 2020.

Turut hadir, Bendahari UMK, Puan Junaidah Badar dan Pengarah Pusat Pembangunan Dan Pengurusan Infrastruktur UMK, Prof. Dr. Mohd Rosli Mohamed.

Menurut Puan Junaidah, kejayaan lima tahun (2015 hingga 2019) berturut-turut bagi pengauditan penyata kewangan ini telah membuktikan kerjasama jitu dan komitmen semua pihak khususnya Pusat Tanggungjawab UMK yang telah melaksanakan pengurusan kewangan mengikut piawaian perakaunan antarabangsa yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara.

Katanya, jika sebelum ini terdapat pemerhatian-pemerhatian yang dinyatakan dalam sijil audit namun pengiktirafan pada tahun ini sangat bermakna kerana pihak UMK telah menerima sijil audit tanpa sebarang teguran. Semua pemerhatian yang dibangkitkan oleh pihak Audit dapat dijawab dengan baik dan menyakinkan semasa Mesyuarat Exit Conference, oleh Jabatan Audit Negara.

“Saya amat bersyukur dan sangat terharu tentunya gembira kerana kejayaan ini adalah simbolik kepada kerja berpasukan oleh semua staf di Pejabat Bendahari terutamanya dan semua PTj  dalam memastikan semua transaksi kewangan direkod selaras dengan piawaian perakaunan.

“Kita amat bersyukur dengan pencapaian ini dan berharap kerjasama dan kejayaan ini dapat dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, pihak Pengurusan Universiti merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pejabat Bendahari di atas anugerah Sijil Audit Bersih Bagi Penyediaan Penyata Kewangan Tahun 2019.
 

SUMBER :  Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

No comments:

Post a Comment