Friday, September 4, 2020

LHDNM CAWANGAN KENINGAU SUMBANGKAN FACEMASK, CECAIR PEMBASMI KUMAN DAN KERTAS A4 KEPADA TIGA BUAH SEKOLAH DI DAERAH KENINGAU

 KENINGAU, 4 Sept (Bernama) -- Seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 iaitu Malaysia Prihatin, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Keningau turut mengamalkan budaya prihatin dengan melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial (Social Responsibility / SR) pada hari ini melibatkan tiga buah sekolah dari sekitar Daerah Keningau, Sabah. 


Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Luagan ini berlangsung di Dewan SK Luagan dan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohd Nizom Bin Sairi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDNM. Pada program tersebut YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi telah menyampaikan sumbangan 120 kotak pelitup separuh muka (facemask), 60 botol cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan 30 kotak kertas putih saiz A4 kepada Sekolah Kebangsaan Luagan, Sekolah Kebangsaan Bundu dan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru. Sumbangan tersebut telah diterima oleh Encik Masly Bin Wahip, Pegawai Pendidikan Daerah Keningau sebagai mewakili ketiga-tiga sekolah berkenaan.  

Sumbangan tersebut kemudiannya akan diagih-agihkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Keningau kepada ketiga-tiga buah sekolah tersebut di mana setiap sekolah masing-masing akan menerima 40 kotak facemask, 20 botol cecair pembasmi kuman dan 10 kotak kertas putih saiz A4. 

Sebelum itu dalam ucapannya, YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, program SR sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara LHDNM dengan pihak sekolah, malah ia sememangnya telah menjadi amalan di LHDNM ke arah melahirkan warga kerja dan organisasi yang prihatin kepada masyarakat. Ujar beliau lagi, melalui sumbangan ini LHDNM berharap ia dapat membantu pihak sekolah dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga sekolah yang kini telah menjadi ancaman berbahaya kepada manusia. Pemberian kertas putih saiz A4 pula sebagai mengurangkan beban pihak sekolah dalam menyediakan keperluan alat tulis dan bahan pembelajaran di sekolah.  

Turut hadir pada majlis SR tersebut ialah YBhg. Datuk Hajam Lajah Alam (Pengarah LHDNM Negeri Sabah), Encik Mazlan Mandin (Pengarah LHDNM Cawangan Keningau), Encik Junis Bin Durulou @ Reddwan (Guru Besar SK Luagan, Keningau), Puan Nurulain Abdullah (Guru Besar SK Kampung Baru, Keningau) dan Puan Rose Damianus Sibin (Guru Besar SK Bundu, Keningau). 

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

Tarikh: 04 September 2020

SUMBER: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 

No comments:

Post a Comment