Saturday, October 27, 2018

NEURALSTEM MENGUMUMKAN PENERBITAN KAJIAN MENUNJUKKAN MANFAAT PEMINDAHAN SEL STEM SARAF (NSC) DALAM MODEL MENCIT ALZHEIMER

Pemindahan NSC meningkatkan kognisi dan mengurangkan patologi plak Aβ

GERMANTOWN, Md., 26 Okt (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Neuralstem, Inc. (Nasdaq:CUR), syarikat biofarmaseutikal yang membangunkan rawatan baharu untuk penyakit sistem saraf mengumumkan penerbitan manuskrip dalam Scientific Reports yang menunjukkan pemindahan NSI-532.IGF1, sel stem saraf yang dikeluarkan Neuralstem (paten AS no 9,750,769), mengurangkan patologi penyakit dan meningkatkan kognisi dalam model mencit penyakit Alzheimer (AD).

Kajian tersebut telah dijalankan di University of Michigan oleh pasukan yang diketuai oleh Dr. Eva Feldman, Pegarah Program Pengajian dan Penemuan Neurologi dan Pengarah Penyelidikan University of Michigan ALS Center of Excellence. Pasukan Dr. Feldman telah memindahkan sel stem saraf tersebut ke dalam mencit APP/PS1 dengan gen yang menyebabkan mutasi berkaitan permulaan Alzheimer dalam manusia.

NSI-532.IGF1 diimplan bersebelahan hipokampus, struktur otak yang penting untuk pembentukan memori. Prestasi kognitif mencit dinilai berserta bukti patologi plak Aβ iaitu petanda Alzheimer dalam manusia. Mencit yang menerima graf sel stem saraf menunjukkan prestasi kognitif yang lebih baik berbanding mencit kawalan dalam dua tugas memori yang memerlukan fungsi hipokampus, dan juga menunjukkan pengurangan patologi plak Aβ berbanding kawalan.

“Produk terapi sel stem saraf kami, NSI-566 yang dalam pembangunan klinikal telah menunjukkan potensi untuk merawat kekurangan motor dalam tiga indikasi berbeza—strok, kecederaan saraf tunjang dan ALS,” kata Karl Johe, PhD, Ketua Pegawai Saintifik di Neuralstem. “NSI-532.IGF1 ialah calon terapi sel generasi kedua yang dicipta untuk menggabungkan sel stem saraf dengan protein pelindung saraf, IGF-1, maka ia menyasarkan penyakit perosotan saraf seperti AD.  Kajian praklinikal oleh pasukan Dr. Feldman ini menunjukkan bahawa gabungan ciri sel stem saraf dan IGF-1 berupaya mengurangkan patologi dan perosotan kognitif berkaitan penyakit Alzheimer.”

“Penyakit Alzheimer adalah punca utama dementia dan setakat in tiada rawatan yang dapat merawatnya dengan signifikan,” kata Dr. Feldman. “Hasil kajian ini memberi semangat kepada kami, dan kami bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan Neuralstem.”

Perihal Neuralstem

Neuralstem adalah syarikat biofarmaseutikal peringkat klinikal yang membangunkan rawatan baru untuk penyakit sistem saraf yang kurang mendapat perhatian perubatan. Syarikat mempunyai dua calon pembangunan utama:

- NSI-566 adalah terapi sel stem saraf yang diuji untuk rawatan lumpuh dalam kes strok, Sklerosis Lateral Amiotrofik (ALS) dan kecederaan saraf tunjang kronik (cSCI).

- NSI-189 adalah molekul kecil dalam pembangunan klinikal untuk kecelaruan kemurungan major (MDD) dan pembangunan praklinikal untuk sindrom Angelman, kecacatan kognitif yang disebabkan oleh penyinaran, diabetes Jenis 1 dan Jenis 2, serta strok.

Portfolio calon produk Neuralstem yang pelbagai adalah berdasarkan teknologi sel stem saraf proprietarinya.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=11547

No comments:

Post a Comment