Wednesday, April 4, 2018

MQA ADAKAN DIALOG DENGAN INDUSTRI UNTUK TINGKATKAN KUALITI PROGRAM AKADEMIK

PETALING JAYA, 4 April (Bernama) – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hari ini mengadakan sesi dialog bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak industri dalam usaha meningkatkan kualiti program akademik membabitkan tiga bidang pengajian yang ditawarkan oleh Institut  Pengajian Tinggi (IPT)  di negara ini.
MQA dalam satu kenyataan di sini berkata sesi dialog itu yang diadakan di pejabat MQA di sini membabitkan program akademik bidang hospitalilti dan pelancongan; muamalat dan kewangan islam; serts bioteknologi,
“Objektif sesi dialog ini adalah untuk mendapatkan input daripada pihak industri berkenaan kompetensi graduan, reka bentuk dan penyampaian kurikulum serta keperluan industri seiring Revolusi Industri 4.0,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, maklum balas daripada pihak industri itu dapat membantu usaha penambahbaikan dalam kajian semula pembangunan Standard Program (SP) untuk rujukan kepada IPT bagi memastikan program akademik ketiga-tiga bidang itu menepati tahap pengajian berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia dari peringkat sijil hingga ijazah kedoktoran.
Sehingga kini MQA telah membangunkan 21 SP yang menjadi rujukan IPT untuk mencapai kriteria minimum dalam memastikan keberkesanan bidang pengajian berkenaan.
Menurut kenyataan itu, antara isu yang diketengahkan pada sesi dialog berkenaan membabitkan tempoh minimum latihan industri,  keperluan tenaga pengajar yang memiliki pengalaman industri, bayaran elaun kepada pelajar ketika menjalani  latihan industri serta kekurangan kemahiran komunikasi  dalam kalangan graduan sekarang.
SP yang dibentuk hasil kerjasama  panel terdiri daripada konsultasi IPT awam dan swasta, kementerian dan badan berkanun berkaitan, badan profesional, industri berkaitan dan pelajar, dikaji semula setiap lima tahun bagi memastikan kandungannya relevan dan terkini dengan keperluan semasa.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment