Saturday, April 7, 2018

AIBIM PROMOSI PEMBIAYAAN PERDAGANGAN ISLAM DI MIHAS 2018

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) sebagai penyelaras penyertaan institusi Perbankan Islam di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2018 optimis tentang penghebahan informasi berkenaan pembiayaan perdagangan Islam kepada para peserta dan pengunjung MIHAS 2018.

Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula pada 4 April 2018 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur telah menyaksikan penyertaan lebih daripada seribu peserta pameran tempatan dan antarabangsa yang mempromosikan produk-produk halal dari pelbagai industri termasuklah kewangan Islam, kosmetik, makanan dan sebagainya.

Penyertaan AIBIM bersama 13 buah institusi Perbankan Islam yang lain merupakan satu usaha dalam mempromosi kesedaran terhadap pembiayaan perdagangan Islam di samping berperanan sebagai pemudahcara antara peserta dagangan tempatan dan antarabangsa yang ingin mendapatkan perkhidmatan perbankan Islam yang berkaitan.

Turut berlangsung di ruang pameran AIBIM adalah sesi pelancaran buku mini pembiayaan perdagangan Islam yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Buku mini Introduction to Islamic Trade Finance ini mengandungi informasi berkenaan pembiayaan perdagangan Islam dalam bentuk infografik serta prestasinya di Malaysia dan diberikan secara percuma kepada pengunjung ruang pameran AIBIM.

Sepanjang MIHAS 2018, AIBIM dengan kerjasama penganjur turut mengatur beberapa siri program berkaitan pembiayaan perdagangan Islam antaranya Halal Trade Finance Talk and Conference serta IMHalal Conference.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi AIBIM di 03-20268002/3.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=11007

No comments:

Post a Comment