Sunday, March 12, 2017

MOSTI Tambah Baik Mekanisme Pembiayaan Dana



MELAKA, 10 Mac (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melaksanakan penambahbaikan mekanisme pembiayaan dana kementerian itu bagi memastikan keberhasilan optimum menerusi projek yang dilaksanakan.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata penambahbaikan yang dijangka diumum pada hujung bulan ini turut bertujuan memastikan lebih banyak projek dapat dikomersialkan menjelang tahun 2020.

"Mungkin ada penjenamaan semula geran di bawah MOSTI bagi menambah kecekapan dalam usaha pembangunan projek penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan yang disalurkan.

"Penambahbaikan ini dilakukan setelah kita melihat dan mengambil kira pelbagai aspek terhadap keberkesanan hasil pembiayaan dana yang kita berikan kepada pemohon atau penyelidik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Inovasi Sosial MOSTI (MSI) di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut beliau menyerahkan baja organik hasil pembangunan dan penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM)bagi penanaman pokok secara organik di Penjara Dusun Dato Murad di sini.

Turut hadir Timbalan Komisioner Penjara (Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan, Vokasional dan Industri) Datuk Mohd Sakeri Dollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus.

Abu Bakar berkata penyelidik di negara ini disaran memberi tumpuan khusus pada industri pengeluaran makanan organik kerana ia dilihat mempunyai pasaran tersendiri dan permintaan yang meningkat saban tahun.

"Kita lihat industri makanan organik ini semakin berkembang namun tidak ramai pengusaha menjalankan aktiviti pertanian secara organik dan kita juga kurang penyelidik dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata MOSTI telah menyalurkan kira-kira RM270,000 bagi program penanaman organik pisang dan herba yang dilaksanakan di empat lokasi negeri ini iaitu Penjara Dusun Dato Murad, Pusat Koreksional Jasin, Klinik Cure and Care 1Malaysia Pulau Sebang dan Kampung Ulu Seraja Parit Melaka, Alor Gajah.

Sementara itu, Norhalim berkata sebanyak 1,000 benih pisang dibekalkan di setiap lokasi projek hasil penyelidikan kultur tisu daripada USM yang telah dibangunkan Neo Pragmatik Sdn Bhd dan akan menggunakan bio baja berjenama Bacto-10 sepenuhnya untuk proses penanaman.

Beliau berkata baja tersebut merupakan hasil penyelidikan UPM dan dikomersialkan oleh Phytogold Sdn Bhd.

"MTDC memainkan peranan dalam mengenal pasti teknologi atau produk daripada syarikat penerima dana yang mampu memberi impak kepada komuniti dari segi meningkatkan taraf hidup serta memenuhi keperluan sosial melalui Program Inovasi Sosial seumpama ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment