Saturday, March 18, 2017

ACCA Lantik Jeyasothy Palakrishnar Sebagai Ketua Baharu Di Malaysia



KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) telah melantik Jeyasothy Palakrishnar sebagai Ketua Negara ACCA Malaysia, berkuatkuasa 13 Mac 2017.

Jeyasothy berpengalaman lebih daripada 20 tahun dalam strategi perniagaan, jualan dan pembangunan perniagaan di Malaysia serta rantau Asia.

"Saya berharap untuk bekerja dengan rakan kongsi strategik kami untuk membangunkan aliran bakat bagi menyokong ekonomi Malaysia yang progresif," kata Jeyasothy dalam satu kenyataan mengenai peranan baharunya.

Katanya, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bagi membantu mencapai matlamat program Transformasi Ekonomi Negara.

"Tidak ada waktu yang benar-benar lebih baik bagi menyertai kerjaya ini.

Akauntan profesional menikmati ganjaran kerjaya merentasi industri dan negara, seperti yang ditunjukkan oleh anggota ACCA yang kini melebihi 188,000 di seluruh dunia," katanya.

Beliau menegaskan bagaimana kerjaya dalam perakaunan telah menjadi lebih menarik berikutan jangkaan perniagaan ke atas fungsi kewangan mula meningkat dan peraturan perdagangan menjadi lebih kompleks.

Beliau yang pernah menjadi Pengarah Pembangunan Perniagaan di Microsoft, juga pernah menjawat Naib Presiden INTI - Laureate International Universities di mana beliau meneraju program transformasi strategik dalam rekabentuk kurikulum dan penyampaian pendidikan, melalui kerjasama dengan peneraju industri serta majikan.

Pengarah Asia Pasifik ACCA Leong Soo Yee ketika bercakap mengenai pelantikan itu, berkata: "Jeyasothy menyertai ACCA pada masa yang menarik iaitu ketika kami sedang bersedia untuk melancarkan pelan Kelayakan ACCA berdasarkan keperluan majikan.

"Pengalaman beliau dalam penyampaian pendidikan dan perkongsian komersil memiliki nilai tertinggi dalam memacu strategi ACCA untuk menjadi nombor satu dalam membangunkan akauntan profesional yang diperlukan Malaysia dan dunia.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment