Sunday, June 5, 2016

RM10.4 JUTA PINJAMAN TEKUN KEPADA USAHAWAN DI KUALA KANGSAR SEJAK 1998

KUALA KANGSAR, 2 Jun (Bernama) -- Sebanyak RM10.4 juta pembiayaan Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional diluluskan kepada 908 usahawan di
Parlimen Kuala Kangsar sejak 1998 hingga Mei tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul
Rahman berkata jumlah pinjaman itu termasuk RM617,000 kepada 37 peminjam di
parlimen berkenaan bagi Januari hingga Mei tahun ini.

"Bagi Parlimen Kuala Kangsar, kami sasarkan peruntukan RM1.47 juta
pembiayaan kepada usahawan bagi 2016," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Majlis Perjumpaan Usahawan Agrobank, Tekun Nasional dan Jabatan
Perkhidmatan Veterinar di sini, hari ini.

Tajuddin berkata bagi Perak pula, sejak 1998 hingga Mei tahun ini, sejumlah
RM290.9 juta pinjaman diberikan kepada 26,679 usahawan negeri itu, termasuk
menyasarkan penyaluran pinjaman berjumlah RM32 juta untuk 2016.
"Bantuan ini merupakan komitmen kerajaan secara konsisten kepada usahawan
negeri ini dan Parlimen Kuala Kangsar.

"Jadi, kita berharap rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional
(BN) dalam usaha pembangunan usahawan di negeri ini," katanya.

Tajuddin berkata bagi seluruh negara pula, sejumlah RM4.2 bilion pembiayaan
diluluskan Tekun melibatkan 356,967 usahawan sejak 1998 hingga Mei tahun ini.

Pada majlis itu, Tajuddin turut menyampaikan cek pembiayaan Tekun sebanyak
RM617,000 kepada 37 usahawan daripada parlimen Kuala Kangsar.

Selain itu, beliau juga menyampaikan surat tawaran pembiayaan Agrobank
kepada lima usahawan berjumlah RM98,000.
   
Turut disampaikan, bantuan Jom Tani berupa benih anak ayam kampung dan
penyerahan replika bantuan Pinjaman Ternakan Tanpa Faedah (Pintaf) kepada 45
penternak dalam parlimen Kuala Kangsar.

    -- BERNAMA
   

No comments:

Post a Comment