Thursday, June 9, 2016

MASKARGO BERALIH KEPADA SISTEM PENGURUSAN LOGISTIK BERASASKAN AWAN


     
     
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) berjaya
beralih kepada Sistem Pengurusan Logistik (LMS) berasaskan awan Unisys, bagi
mengurus perkhidmatan kargo domestik dan antarabangsanya, menggantikan sistem
sedia ada.

MASkargo berkata kesemua fungsi sistem terasnya, daripada sistem berasaskan
kerangka utama, telah beralih kepada LMS dan peralihan itu meliputi penyeragaman
dan penyapaduan dengan sistem gudang automatik syarikat penerbangan itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo Ahmad
Luqman Mohd Azmi berkata berdasarkan ciri operasi harian syarikat itu, sistem
tugas berat yang boleh diakses secara meluas, diperlukan.

"Sebagai satu sistem berasaskan awan, ia akan membolehkan kami mengakses
kedudukan terkini secara teratur dan membuat penambahbaikan pada masa hadapan.

"Sistem berasaskan Internet itu menyediakan akses global secara langsung dan
berkesan dari segi kos, dan membolehkan pengguna membuat tempahan pada bila-bila
masa dan di mana-mana sahaja berasaskan kawalan yang dibangunkan dalam sistem
itu," katanya.

Naib Presiden Unisys Logistics Solutions Christopher Shawdon berkata LMS  
digunakan oleh syarikat penerbangan terkemuka di seluruh dunia bagi mengurus
perniagaan kargo udara masing-masing.

Model penyampaian berasaskan awan itu membolehkan syarikat penerbangan
mengurangkan kos berbanding menggunakan sistem perisian tradisional, dan
mempercepatkan tahap perubahan memandangkan penambahbaikan disalurkan kepada
pelanggan setiap bulan, kata Shawdon.

Model awan itu juga membantu ahli bekerjasama terhadap sebarang perkembangan
baharu, katanya.

MASkargo ialah bahagian kargo Malaysia Airlines Bhd, yang memproses
kira-kira 1.5 juta kargo setahun.

Ia adalah ejen pengendalian darat terbesar di Kuala Lumpur dan berperanan
sebagai ejen kepada lebih 30 syarikat penerbangan asing di Advanced Cargo
Centre, dalam menerima, memproses dan menghantar kargo yang dibawa dalam
penerbangan asing.

    -- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment