Tuesday, August 22, 2023

FESTIVAL KESENIAN PERIBUMI MALAYSIA 2023 (FESKEP) TONJOL 7 SUKU KAUM SENI BUDAYA MASYARAKAT PERIBUMI

KUANTAN, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan Kuantan menganjurkan Festival Kesenian Peribumi Malaysia 2023 (FeSKEP) pada 18 hingga 20 Ogos 2023 bermula pukul 10.00 pagi bertempat di Teluk Cempedak, Kuantan. Persembahan Gala pada malam ini dihadiri oleh YB. Cik Leong Yu Man Exco Perpaduan, Pelancongan Dan Kebudayaan  Negeri Pahang pada 20 Ogos 2023 (Ahad), 8.45 malam.

Objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk mengetengahkan keunikan pelbagai etnik, dan budaya masyarakat peribumi dari pelbagai suku kaum dan memupuk semangat perpaduan bersama masyarakat dalam aktiviti seni budaya. Ia turut menjadi salah satu elemen tarikan pelancong kerana program ini mampu memberi impak kepada industri pelancongan negara menerusi penyerlahan seni budaya masyarakat peribumi dalam kalangan masyarakat tempatan. Selain itu, JKKN juga ingin mengangkat serta mengekalkan kesenian dan warisan adat budaya masyarakat peribumi tempatan yang terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa di mata masyarakat.

Festival ini turut memaparkan keunikan budaya masyarakat peribumi dari pelbagai negeri serta mengeratkan hubungan pemimpin setempat dan semangat perpaduan bersama masyarakat dalam aktiviti seni dan budaya.

Festival ini akan dimeriahkan dengan pelbagai pengisian yang menarik. Antaranya kepelbagaian seni dan budaya masyarakat peribumi iaitu dari Pahang (Semelai dan Jahut), Selangor (mah Meri dan Bah Bola), Negeri Sembilan (Temuan), Kelantan (Bateq) dan Terengganu (Semoq Beri) serta penampilan khas Artis Jemputan Noraniza Idris, Leslie (Pemain Sape),  Artis Budaya Majlis Bandaraya Kuantan (Fauzan Rosli, Ummie dan Rahayu). Selain itu, pengunjung juga dimeriahkan dengan pameran dan jualan dari pelbagai etnik yang dijangka dapat menarik lagi minat pengunjung untuk melihat sendiri hasil tangan masyarakat orang asal. Antara produk jualan yang akan dipamer dan dijual adalah hasil kraftangan seperti bakul dan tikar mengkuang, hasil ukiran tangan, akar kayu dan herba - herba serta peralatan tradisional seperti sumpit. Program ini juga akan mempamerkan produk tradisional Melayu seperti tanjak dan keris, demonstari Ikhtiar Hidup oleh ATM. Selain itu, pelbagai pertandingan bakal diadakan sepanjang dua hari festival berlangsung seperti Battle of The Band, Mewarna, Gadis Cantik & Jejaka Tampan, Permainan Rakyat, Silat Pahlawan, Demonstari Cegah Kebakaran & Pameran Bas Bergerak Bomba, Perkampungan Mini Orang Asli.

“Festival ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat orang asal tempatan dengan penjualan produk mereka, tetapi turut mempromosikan Teluk Cempedak yang juga merupakan pantai ikonik yang popular di Pantai Timur. Melalui program ini juga, JKKN bertanggungjawab untuk menyemarak seni budaya masyarakat peribumi agar terus terpelihara dimasa akan datang”, Kata YBrs Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dalam kenyataannya hari ini.
 
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.
 
Dikeluarkan Oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

SUMBER : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17368

No comments:

Post a Comment