Thursday, September 8, 2022

GERAN PENYELIDIKAN DR RANJEET BHAGWAN SINGH - MENYOKONG PENYELIDIK MUDA TEMPATAN DALAM BIDANG PERUBATAN DAN SAINTIFIK

Penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2022, Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai agensi peneraju agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara sentiasa memberi galakan kepada saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Usaha ini penting selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk menjadi negara berteknologi tinggi berasaskan inovasi tempatan.

Justeru itu, dana merupakan satu aspek penting dalam ekosistem R&D negara. Selain peruntukan kerajaan, MOSTI juga mengawal selia Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh. Geran ini kekal menjadi komitmen MOSTI bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) untuk menyokong penyelidik muda tempatan setiap tahun dalam bidang perubatan dan saintifik.

Geran penyelidikan yang diuruskan menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh sejak tahun 1997 ini telah diberikan kepada 26 penyelidik muda dengan jumlah dana sebanyak RM632,265.00. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Dr. K. Nagulendran dalam ucapannya mewakili Yang Berhormat Menteri MOSTI, Dato’ Sri Dr. Adham Baba pada Majlis Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022 berkata, “Mendiang telah mewasiatkan keseluruhan hartanya dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan berkenaan setiap tahun sehingga kini. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang individu dengan visi jauh ke hadapan, melihat kepentingan konsep filantropi bagi menyokong penyelidik muda tempatan tanpa mengira bangsa dan agama.”

Dr. K. Nagulendran kemudiannya mengumumkan Penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022 iaitu Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau menerima geran penyelidikan berjumlah RM50,000 menerusi penyelidikan bertajuk ‘Preclinical Assessment of Human Induced Pluripotent Stem Cell-derived Pre-epicardial Cell/Cardiomyocyte Theraphy in Acute Myocardial Infarcted Rat Hearts’ yang bertujuan untuk mencipta sel jantung dari sel stem untuk merawat serangan jantung.  

No comments:

Post a Comment