Thursday, March 11, 2021

SEMINAR SEHARI ‘PEMBANGUNAN MINDA QUR’ANI’

 KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Institut Kefahaman Islam Malaysia telah menganjurkan Seminar “Pembangunan Minda Qur’ani” secara dalam talian dan telah dihadiri oleh hampir 40 orang peserta berbayar yang terdiri daripada para pengkaji, pelajar universiti, guru serta peringkat pengurusan yang telah memanfaatkan pengisian ilmiah sepanjang program sehari ini.

Tiga orang tokoh telah diundang untuk membentangkan kertas kerja masing-masing, iaitu Prof Dato’ Dr. Mohd. Yakub@Zulkifli Hj. Mohd. Yusuf dari Jabatan al-Qur’an dan Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Tuan Hj. Mohd. Noor Ikhram Hj. Husin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA); dan Prof. Madya Dr. Sh. Hayati Syed Ismail, Ketua Jabatan Siasah Shar’iyyah, Universiti Malaya, manakala Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah menyampaikan ucaptama dalam program ini.

Tiga objektif yang ingin dicapai oleh seminar ini adalah menjelaskan erti sebenar ‘minda’ yang digagaskan oleh al-Qur’an dan Pemikiran Islam, menjelaskan hakikat sebenar ‘kehidupan’ dan ‘nasib akhir’ dalam rangka membentuk perspektif hidup yang jelas dan seimbang dan menjelaskan punca krisis makna diri dan keraguan terhadap nasib akhir yang melanda manusia hari ini.

Bagi mencapai objektif-objektif yang digariskan itu tiga kertas kerja telah dibentangkan serta dibincangkan. Kertas kerja pertama yang bertajuk Minda Qur’ani: Ta’rif dan Ciri-cirinya yang dibentangkan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd. Yakub@Zulkifli Hj. Mohd. Yusuf membahaskan pengertian ataupun maksud frasa “minda Qur’ani” yang menjadi pokok perbincangan seminar ini.

Kertas kerja kedua, Punca Kehilangan Makna Diri dan Tujuan Hidup, yang dibentangkan oleh Tuan Hj. Mohd. Noor Ikhram Hj. Husin, telah membahaskan persoalan punca-punca yang membawa kepada kehilangan makna diri yang melanda manusia hari ini.

Kertas kerja terakhir yang bertajuk Hakikat Diri Insan Menurut al-Qur’an yang dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Sh. Hayati Syed Ismail menjelaskan pengertian sebenar ‘diri’ seperti yang dinyatakan oleh al-Qur’an dan dijelaskan dalam Hadis dan Sunnah.

Seminar ini berhasrat mengingatkan kembali bahawa dalam Islam yang dimaksudkan dengan ‘minda’ itu adalah tidak lain dari ‘diri’ insan itu sendiri, yang sedar, berfikir dan berkehendak. Yang dimaksudkan dengan ‘Minda Qur’ani’ pula adalah minda baharu ataupun diri baharu, yang muncul dan terbina dengan penurunan al-Qur’an, iaitu suatu minda yang mempunyai kesedaran baharu, pemikiran baharu dan kehendak baharu. Minda baharu inilah yang telah mengobarkan semangat dan peradaban baharu yang cahayanya menerangi dunia selama lebih dari seribu tahun. Al-Qur’an adalah punca makna diri Kaum Muslimin, dan punca kesedarannya terhadap tugas dan tanggungjawabnya di dunia ini.

Kemerosotan dan kemunduran Kaum Muslimin pada hari ini sehingga membawa kepada kelemahan dan kehinaan diri pada mata manusia pada hakikatnya berpunca dari kekeliruan makna diri dan keraguan terhadap nasib akhir, sedangkan itulah persoalan dasar yang digagaskan oleh al-Qur’an. Justeru, pengajaran al-Qur’an hendaklah memfokuskan terhadap persoalan makna diri yang semakin terhakis dari jiwa umat Islam akibat dari wabak pensekularan yang berleluasa.

Unit Perhubungan Korporat
9 Mac 2021

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14341


No comments:

Post a Comment