Thursday, March 18, 2021

HALLIBURTON MENGANUGERAHKAN GERAN BERJUTA-JUTA DOLAR KEPADA UNIVERSITI DI MALAYSIA

Menyediakan pelajar dengan akses kepada perisian E&P terkemuka dan peluang bimbingan untuk melibatkan diri dan mempersiapkan mereka bagi kerjaya masa depan

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Syarikat Halliburton (NYSE: HAL) hari ini mengumumkan bahawa ia telah memperuntukkan sebuah geran perisian bernilai berjuta-juta dolar kepada Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) untuk menyokong pendidikan dan pembangunan bagi pelajar-pelajar yang menceburi kerjaya di dalam industri minyak dan gas. Sumbangan selama tiga tahun itu memberikan akses kepada suite perisian cari gali dan pengeluaran DecisionSpace® oleh Halliburton Landmark agar pelajar-pelajar dapat merapatkan jurang di antara kerja kursus akademik dan aplikasi praktikal.

Geran itu juga memudahkan program Sains dan Teknologi Halliburton untuk Penyelesaian Cari gali & Pengeluaran (STEPS) yang menawarkan pelajar dengan peluang untuk menjalankan satu projek penyelidikan dan pada masa yang sama menerima latihan dan bimbingan yang berkaitan dengan industri. Dua pelajar siswazah UTP akan mengambil bahagian di dalam program itu dan mempunyai akses kepada perisian terkini untuk memahami dengan lebih baik data alam nyata dan mewujudkan sebuah persekitaran pembelajaran yang dinamik.

“Halliburton dengan bangga ingin menawarkan peluang ini kepada pelajar-pelajar UTP bagi membolehkan pembangunan kemahiran dan perhubungan teknikal penting yang kritikal untuk kejayaan masa depan,” kata Rao Abdullah, naib presiden bagi pembangunan perniagaan dan NOC di Asia Pasifik. “Kami percaya pembelajaran adalah yang paling berkesan apabila pelajar bekerjasama dengan pengamal berpengalaman dan menggunakan teknologi canggih untuk memperluaskan pengetahuan mereka dan memupuk kemahiran baharu.”

Di samping itu, Halliburton akan menyampaikan kuliah tambahan bagi pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana mengenai pelbagai topik termasuk penggerudian, pengeluaran, pembangunan lapangan dan sains data. Sumbangan itu disampaikan melalui Program Geran Universiti Halliburton Landmark, yang menyumbang lesen perisian yang boleh diperbaharui kepada institusi akademik yang berkelayakan di seluruh dunia.

“Ia adalah satu keistimewaan bagi kami untuk menerima geran perisian ini dari Halliburton. Program perisian ini akan membolehkan pelajar-pelajar untuk menerapkan prinsip saintifik dan teori secara praktikal kepada senario alam nyata. Ini akan sangat memberi manfaat kepada pelajar di dalam alam bagi pengalaman praktikal dan menyiapkan mereka dengan baik bagi kerjaya di dalam industri minyak dan gas. Ia juga selaras dengan komitmen UTP untuk menghasilkan graduan yang relevan dan bersedia untuk industri,” kata Profesor Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Naib Canselor UTP.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14370

No comments:

Post a Comment