Monday, December 23, 2019

​PRATONTON FESTIVAL KRAF JOHOR 2019



JOHOR BAHRU, 20 Dis (Bernama) -- Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia hari ini mengadakan Pratonton Festival Kraf Johor 2019 bersama Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Ismail, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

PENGANJURAN - Festival Kraf Johor 2019 berlangsung dari 20 hingga 31 Disember 2019, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Festival ini diadakan bertujuan untuk mempromosi serta mewujudkan kesedaran di samping memberi maklumat terkini kepada pengunjung mengenai industri kraf tempatan, yang menampilkan kepelbagaian produk kraf berasaskan lima bidang kraf utama iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.

KONSEP FESTIVAL KRAF JOHOR 2019 - Berkonsepkan Kraf Cenderamata Untuk Semua, Festival ini disertai seramai 264 usahawan kraf dari seluruh Malaysia dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik diinspirasikan menerusi aktiviti seperti Jualan Produk Kraf, Pameran dan Jualan Produk Baru, Demonstrasi dan Pameran dari Institut Kraf Negara, Sajian Negaraku, Pameran dan Pendidikan Kraf Warisan, Persembahan Kesenian, Aktiviti Galakan Pengunjung dan Aktiviti Pertandingan.

AKTIVITI SEMPENA FESTIVAL KRAF JOHOR 2019 – Aktiviti sempena Festival Kraf Johor 2019 adalah seperti berikut :

i.  Jualan Produk Kraf
ii. Pameran dan Jualan Produk Kraf - Produk Baru, Hadiah dan Cenderamata (VM 2020), Projek Kraf Komuniti Ku dan Projek Semarak Kraf
iii. Perkampungan Seni Kraf Perak, Negeri Kelantan
iv. Padanan Perniagaan
v. Pendidikan Kraf Warisan - Alat Muzik Gambus dan Kuda Kepang
vi. Pertandingan - Ukiran Kayu, Mewarna Batik, Gasing Ligat Tradisional FKJ, Mewarna, Dekorasi Buah Nanas, Fesyen Kraf Cilik, FKJ Idol 2019 dan Foto Viral
vi. Pameran Korporat Institut Kraf Negara
vii. Persembahan Kesenian - Pocket Show @ Buskers, Angklung, Kompang Formasi dan Tarian Irama Malaysia
viii. Sajian Negaraku
ix. Khidmat Iring

KELAINAN AKTIVITI FESTIVAL KRAF JOHOR KALI INI

i.    Perkampungan Seni Kraf Perak Kelantan - Perkampungan Seni Kraf Perak, Negeri Kelantan menghimpunkan seramai 13 usahawan kraf terdiri daripada tukang–tukang kraf yang menghasilkan produk hiasan dan aksesori dari seni pertukangan perak (silverware). Di perkampungan ini, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat penghasilan seni kraf perak seperti Filligre, Jewellery dan Wares. Para pengemar kraf perak turut berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan mengilat semula produk kraf perak.

ii.   Produk Baru, Hadiah dan Cenderamata VM2020 - Mengetengahkan pameran dan jualan pelbagai produk kraf rekaan baru dan unik khusus untuk sambutan VM2020.Pameran produk berkonsepkan VM2020 juga turut diketengahkan bagi menarik lagi minat pengunjung dengan penampilan rekaan baru dan unik.

iii.  Pertandingan Ukiran Kayu - Pertandingan membuat Panel Ukiran Kayu anjuran bersama Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR) akan berlangsung selama 3 hari. Pertandingan ini terbuka kepada usahawan kraf dan pelajar IPTA/IPTS.
 
PERAGAAN FESYEN - Pada majlis ini juga, tetamu dipertontonkan dengan persembahan peragaan fesyen sebanyak 36 koleksi rekaan daripada 9 usahawan kraf yang menyertai Festival Kraf Johor 2019 iaitu Jafiqa Couture, Batras Design, Bilion Trading, Noor Arfa Batik, Nolie & Ezryhelmy, TMF Batik, Unique Touch, Pusat Tenun Pahang Felda Chini dan Yayasan Warisan Johor.

HARAPAN KRAFTANGAN MALAYSIA - Penganjuran Festival Kraf Johor 2019 diharap terus mendapat sokongan masyarakat di Negeri Johor dan pelancong dari Singapura khususnya serta seluruh rakyat Malaysia amnya dan semoga sasaran kedatangan pengunjung seramai 135,000 orang dapat dicapai. Adalah menjadi harapan agar Festival Kraf Johor 2019 menjadi destinasi kunjungan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa serta dimanfaatkan oleh masyarakat setempat sempena musim cuti sekolah.

SUMBER: Kraftangan Malaysia 

No comments:

Post a Comment