Wednesday, August 1, 2018

Tricor Group perluas khidmat hutang dengan pemerolehan Madison Pacific

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Tricor Group (Tricor), penyedia perkhidmatan perniagaan, korporat dan pelabur terkemuka Asia, memperluaskan aktiviti dengan meneroka perkhidmatan hutang melalui pemerolehan Madison Pacific Group.

Madison Pacific adalah penyedia persendirian bagi perkhidmatan amanah korporat dan agensi yang terkenal di Asia.

Gabungan perniagaan semasa Tricor Investor Services, Madison Pacific, yang mengkhusus dalam penyediaan amanah korporat, agensi pinjaman dan perkhidmatan pemegang amanah keselamatan, akan memberikan Tricor satu platform lengkap untuk menyokong pelanggan korporat dalam keperluan modal mereka dalam pasaran hutang dan ekuiti, terutamanya di Hong Kong, antara pasaran modal terbesar dunia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tricor berkata pengambilalihan itu menambah francais Madison Pacific yang mantap dan kepakaran mendalam dalam hutang korporat dan pelaburan kepada platform Tricor dan membolehkan kumpulan gabungan itu untuk menawarkan penyelesaian yang canggih kepada pelanggan bagi kedua-dua firma.

Ketua Pegawai Eksekutif Tricor Group Lennard Yong berkata syarikat kini boleh menyediakan penyelesaian sebagai sebuah penyedia amanah korporat, sekali gus memudahkan lagi pelanggannya mengakses modal dalam pasaran hutang.

"Madison Pacific menambahkan keupayaan yang penting kepada penyelesaian pelanggan Tricor. Kami kini menjadi pembekal nombor satu bagi penyedia penyelesaian pendaftar saham di Hong Kong, diyakini oleh lebih 1,200 syarikat di Bursa Saham Hong Kong, " katanya.

Madison Pacific ditubuhkan pada 2010 di Hong Kong untuk memenuhi keperluan sebuah penyedia pakar bebas dan berpengalaman untuk pemegang amanah pihak ketiga dan perkhidmatan agensi yang dipercayai dalam urus niaga tertumpu hutang rentas sempadan yang canggih.

Portfolio pelanggan Tricor termasuk lebih 1,200 syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, lebih 500 syarikat yang tersenarai di Singapura dan Malaysia.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.tricorglobal.com.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment