Tuesday, August 28, 2018

Pertandingan seni MyCreative dibuka kepada awam

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) hari ini mengumumkan penyertaan untuk pertandingan 'The Craft Master 2018' dan 'Visual Arts Pitch (VAP) 3.0' mula dibuka.

Kedua-dua pertandingan merupakan inisiatif menyediakan peluang-peluang promosi kepada artis dan pereka visual yang memacu seni kreatif Malaysia, serta platform untuk pakar-pakar industri menemui bakat-bakat baru.

Master Craft 2018 terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Ia menyasarkan pencarian bakat kreatif yang berpotensi dalam seni kraf tempatan dan produk kraf moden, kontemporari atau tradisional yang berpotensi untuk dikomersialkan.

MyCreative dalam kenyataannya berkata tidak ada batasan dari segi penggunaan medium. Medium seperti kayu, logam, seramik, kain, plastik dan getah boleh digunakan, namun, produk kraf yang dihasilkan mestilah asli, berfungsi, kreatif, rapi dan berpotensi dijual.

Master Craft 2018 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM24,000 untuk empat pemenang. Antara kategori yang dipertandingkan tahun ini adalah lampu, penyusun meja dan beg.

Sementara itu, VAP 3.0 dibuka kepada rakyat Malaysia berumur antara 18 hingga 35 tahun. Para peserta boleh mengemukakan lebih daripada satu karya seni seperti lukisan, ukiran atau fotografi asalkan karya-karya tersebut adalah karya asal peserta itu sendiri.

VAP 3.0 menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 kepada tiga pemenang utama dan ia juga menawarkan peluang mempamerkan karya seni di galeri terkemuka.

Mereka yang berminat mesti menghantar permohonan penyertaan sebelum 16 Sept untuk Master Craft 2018 dan 30 Sept untuk VAP 3.0.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment