Saturday, March 5, 2016

Sistem ePerolehan Kerajaan Kekalkan Pensijilan ISMS

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Infrastruktur sistem perolehan kerajaan, Sistem ePerolehan, berjaya mengekalkan pensijilan ISO/IEC 27001: Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) 2013 bagi tempoh tiga tahun lagi berkuat kuasa dari 27 Nov, 2015.
Menurut Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDCSB), ISMS adalah polisi yang sistematik dan berstruktur dalam memastikan data dan maklumat yang berkaitan dengan perolehan sentiasa dalam keadaan yang selamat.

Pelaksanaan ISMS meliputi dasar, proses, prosedur, struktur organisasi serta fungsi perkakasan dan perisian.
Keselamatan infrastruktur sistem perolehan kerajaan itu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencapai standard antarabangsa dan bersedia berhadapan dengan sebarang ancaman siber, menurut CDCSB dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

CDCSB selaku syarikat bertanggungjawab menyelenggara sistem tersebut sejak 2000 sehingga kini turut terlibat dengan matlamat itu, menurutnya.

Majlis penyampaian ISO/IEC 27001:2013 Sistem ePerolehan diadakan di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada 5 Feb 2016.

"Pengiktirafan ini menunjukkan Sistem ePerolehan telah berjaya mengekalkan kualiti keselamatannya memandangkan ia pernah menerima pensijilan ISMS buat kali pertamanya pada 2012 bagi MS ISO/IEC 27001:2007.

"Pentauliahan pensijilan ini adalah bertepatan dengan inisiatif yang komprehensif dan komitmen tinggi untuk meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan operasi Sistem ePerolehan yang diklasifikasikan di bawah Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII)," menurut kenyataan itu.

Setakat ini, Sistem ePerolehan telah digunakan oleh 2,648 Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah kerajaan dan 113,900 pembekal berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Kabinet Malaysia, melalui Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara (NCCMP), yang dibangunkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Februari 2010, telah mengarahkan kesemua sistem yang diklasifikasi sebagai CNII perlu mendapatkan pensijilan ISMS dalam tempoh tiga tahun.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment