Sunday, March 6, 2016

PKNS Sedia Pelbagai Medium Untuk Tambah Baik Mutu Perkhidmatan Kepada Pelanggan

SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mewujudkan pelbagai medium untuk pelanggan menyalurkan maklum balas serta pandangan bagi menambah baik mutu perkhidmatannya.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim berkata orang ramai boleh menghubungi PKNS Careline melalui Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkas, kod QR, e-mel, talian bebas tol dan sebagainya untuk mendapat maklum balas.

"Selain itu, ia juga bagi meningkatkan penyertaan warga kerja PKNS dalam aktiviti penambahbaikan dalam perkhidmatan yang ditawarkan.

Malah kita juga akan sentiasa menekankan nilai 'customer centric' atau mengutamakan pelanggan dalam diri warga kerja kami," katanya dalam satu kenyataan di sini sempena Hari Mesra Pelanggan 2016 perbadanan itu.

Majlis pelancaran hari mesra pelanggan yang diadakan di Pusat Beli Belah SACC itu disempurnakan oleh Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah.

Ishak berkata objektif penganjuran hari mesra pelanggan berkenaan adalah bagi membuka ruang serta peluang kepada orang ramai mengemukakan aduan dan kehendak mengenai produk serta perkhidmatan secara terus kepada perbadanan itu.

Selain itu katanya, bagi meningkatkan penjualan projek hartanah dan komersial PKNS, perbadanan itu kini memperkenalkan skim 'Cari-cari Pembeli' yang terbuka kepada kakitangan dan orang awam dengan menawarkan insentif yang lumayan jika mereka berjaya mencari pembeli.

"Bagi skim ini, jika rumah berjaya dijual individu itu bernilai RM400,000, peserta skim akan menerima RM2,000 daripada kami namun jumlah insentif berbeza mengikut harga rumah yang berjaya dijual," katanya.

Dalam pada itu, PKNS menawarkan pembelian pemilikan hartanah bernilai RM300 juta kepada orang ramai menerusi 17 produk pada pameran Koleksi Hartanah PKNS 2016 yang berlangsung mulai 19 Feb lepas sehingga esok.

Antara produk perumahan yang sedang dijual adalah Opal Residensi dan Aquavilla di Seksyen 7; Anggun 2 dan Hijauan Enklaf di Setia Alam; Cassia dan Azhara di Antara Gapi; Citrina 3 dan Dillenia di Bernam Jaya; Puteri Daffina 2 di Kota Puteri; Astana Keriung di Rasa, Rawang dan Vega Residensi di Selangor Cyber Valley.

Manakala unit komersil adalah I-Zone di Bandar Sultan Suleiman di Klang; Gapi Avenue 2 dan 3 di Antara Gapi; I-Zone di Rasa, Rawang dan Perdana Avenue di Kuang.

-- BERNAMA




No comments:

Post a Comment