Friday, March 4, 2016

A.M. Best Sahkan Penarafan Kedudukan Kewangan Energas Pada A (Cemerlang)

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- A.M. Best yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mengesahkan penarafan kedudukan kewangan syarikat insurans tunggal Petronas, Energas Insurance (L) Ltd, pada A (Cemerlang) dan penarafan penerbit kredit pada "a".

Agensi penarafan itu juga menetapkan unjuran stabil ke atas kedua-duanya.

A.M. Best dalam satu kenyataan hari ini berkata pengesahan penarafan itu mencerminkan permodalan terlaras risiko yang kukuh, prestasi operasi syarikat yang menggalakkan serta program insurans semula yang menyeluruh.

"Penarafan itu juga memperakukan kedudukan strategiknya sebagai syarikat insurans tunggal Petronas, syarikat minyak dan gas nasional Malaysia, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

"Energas memainkan peranan penting dalam pengurusan risiko keseluruhan program kumpulan itu," katanya.

Ia berkata modal dan lebihan Energas telah berkembang mantap sejak lima tahun lepas susulan keputusan taja jaminnya yang menguntungkan manakala pengukuhan kedudukan kewangan seterusnya disokong oleh pengekalan pendapatan, pemilihan risiko serta program insurans semula.

Di samping itu, Energas juga mengekalkan portfolio pelaburan mudah tunai berhemat, katanya.

A.M. Best berkata Energas mengekalkan program insurans semula yang komprehensif dengan sekumpulan panel penginsurans semula, yang dijangkakan terus melindungi permodalannya jika berlaku kerugian besar.

Bagaimanapun ia berkata antara faktor pengimbang penarafan positif ini ialah turun naik prestasi taja jamin dan permodalan Energas hasil daripada kedudukan perniagaan dan ketahanan risiko yang lebih tinggi sejak 2013.

Energas bagaimanapun berada pada kedudukan yang baik pada paras penarafan semasa.

"Tindakan penarafan negatif boleh berlaku jika terdapat kemerosotan prestasi operasi, menyebabkan penurunan ketara paras modal wajaran risiko.

"Selain itu, tekanan penarafan negatif mungkin timbul jika terdapat pergerakan menurun yang ketara dalam profil kredit Petronas," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment