Friday, September 10, 2021

RISTEX 2021 BERJAYA MEREKOD PENJIMATAN KOS RM466 JUTA MELALUI PROJEK INOVASI

PETALING JAYA, 9 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif kumpulan Team Excellence (TE) atau dikenali sebagai Kumpulan Inovatif dan Kreatif bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah, malah warga kerja dalam organisasi akan menjana idea-idea kreatif untuk ditransformasikan menjadi projek inovatif. Usaha ini lama-kelamaan akan memupuk semangat kerjasama dan kecemerlangan sebagai satu pasukan. Inisiatif ini adalah di antara pendekatan yang lazimnya dilaksanakan bagi menerapkan budaya inovasi dan produktiviti di kalangan pekerja.

Penambahbaikan produktiviti di tempat kerja amatlah perlu dijalankan secara berterusan bagi memacu ekonomi Malaysia untuk lebih berdaya saing. Sejajar dengan keperluan untuk terus berinovasi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah melaksanakan pelbagai program dalam memastikan budaya kreatif dan inovasi dapat dilestarikan secara menyeluruh di dalam sesebuah organisasi. Pada 8 hingga 9 September 2021, MPC telah menganjurkan Program Regional Innovation Showcase on Team Excellence (RISTEx). Program ini adalah platform bagi mengiktiraf projek inovasi yang dilaksanakan secara berkumpulan dan sekaligus dapat meningkatkan motivasi pekerja untuk terus menyumbang kepada kemampanan dan kelangsungan organisasi mereka.

Ketua Pengarah MPC, YBhg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, dalam kenyataannya berkata, “Sebanyak RM466 juta penjimatan kos telah berjaya direkodkan melalui projek inovasi yang dikongsi sepanjang program RISTEx. Pencapaian ini menunjukkan bukti kejayaan kumpulan TE dalam mentransformasikan projek inovasi serta meningkatkan produktiviti di tempat kerja masing-masing”.

Sebanyak 196 kumpulan TE daripada 95 organisasi telah menyertai RISTEx kali ini dan projek inovasi mereka ditanda aras untuk memberi inspirasi kepada 1,411 peserta yang hadir secara atas talian. Ini selaras dengan laporan dari Global Innovation Index 2020 (GII 2020) yang diterbitkan oleh World Intellectual Property Organisation (WIPO), menunjukkan kedudukan Malaysia telah meningkat ke tangga 33 berbanding di tangga ke 35 pada tahun 2019 daripada 133 negara yang disenaraikan. Justeru itu, usaha ini harus diteruskan supaya prestasi inovasi Malaysia setanding dengan negara-negara maju.

Dalam program ini juga, Dato’ Abdul Latif turut melancarkan Annual Productivity and Innovation Showcase (ArISe) iaitu nama baharu bagi Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition (APIC) yang digunakan sebelum ini. ArISe adalah kemuncak program yang mengiktiraf projek inovasi di peringkat kebangsaan dan ianya akan berlangsung pada bulan November nanti. Dato’ Abdul Latif berkata lagi, ”Sejajar dengan pembaharuan ini, skop program ArISe juga diperluaskan di mana lebih banyak organisasi akan berkongsi amalan terbaik projek penambahbaikan inovasi dan produktiviti mereka.”
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC):
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menjalankan aktiviti bagi peningkatan produktiviti, kualiti dan daya saing. Visi utama MPC ialah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi. 

Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14955

No comments:

Post a Comment