Friday, September 10, 2021

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN: 341 BAKUL MAKANAN BAGI MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS DI KUANTAN DAN BINTULU

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- 341 bakul makanan diagihkan menerusi Program CSR Hasil Prihatin Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi membantu penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di Kuantan, Pahang dan Bintulu, Sarawak.
 
Di Pahang, YB Tuan Mohd Shahar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan I telah menyantuni rakyat dengan turun padang bagi menyampaikan bakul-bakul makanan kepada wakil-wakil penerima sumbangan dari sekitar Kuantan. Sebanyak 141 bakul makanan telah diagihkan di tiga masjid iaitu di Masjid Al Hidayah Paya Besar, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid Saidina Uthman Affan Bukit Rangin. Turut hadir dalam program tersebut ialah Encik Chakngari@Yusof B. Daud, Pengarah Negeri LHDNM Pahang.
 
Di Bintulu, Sarawak pula Cik Edith Mason, Pengarah Cawangan LHDNM Bintulu telah menyempurnakan program penyerahan 200 bakul makanan di Balai Raya Assyakirin kepada penerima dan wakil-wakil penerima yang kemudiannya akan diagihkan kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan Bintulu dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Bintulu dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Bintulu. Turut hadir dalam program berkenaan ialah Puan Sharifah Mordiah Binti Syed Ali, Ketua Jabatan PKMB Bintulu dan Encik Zaini Bin Ramli, Ketua Cawangan TBS Bahagian Bintulu.
 
Sehingga kini, sebanyak 10,970 bakul makanan telah disumbangkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di seluruh negara melalui Program CSR Hasil Prihatin dengan harapan ia mampu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN: 341 BAKUL MAKANAN BAGI MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS DI KUANTAN DAN BINTULU

No comments:

Post a Comment