Wednesday, September 15, 2021

HAMPIR TIGA PEREMPAT PELANCONG AMERIKA SYARIKAT MENYOKONG PENGENALAN PASPORT VAKSIN ANTARABANGSA, MENURUT PENYELIDIKAN OAG

70% daripada semua pelancong menyokong pasport vaksin antarabangsa; 56% pelancong yang belum mendapat vaksin tidak mahu diberikan suntikan vaksin walaupun jika ia diperlukan untuk melakukan perjalanan

SINGAPURA, 14 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Orang ramai sudah bersedia untuk kembali melancong, tetapi masa terdekat bagi perjalanan udara masih kekal bergolak, menurut tinjauan OAG terhadap lebih 1,800 pelancong Amerika Syarikat pada Julai dan Ogos. Kapasiti domestik di Amerika Syarikat meningkat 81% dari Jun – Ogos 2021, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu. Peningkatan itu didorong oleh permintaan pengguna yang teguh; 70% daripada pengguna yang ditinjau oleh OAG telah menempah penerbangan untuk masa depan.

Walaupun kesediaan pelancong untuk terbang semakin meningkat, varian Delta, peningkatan kadar penularan COVID dan pilihan pemvaksinan sangat mempengaruhi prospek jangka pendek dan sederhana. Sebilangan besar pengguna yang ditinjau oleh OAG melaporkan telah menerima pemvaksinan lengkap. Walau bagaimanapun, OAG mendapati bahawa hanya 15% individu yang belum mendapat vaksin merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum perjalanan mereka yang seterusnya.

Banyak syarikat penerbangan dan destinasi sedang menimbangkan mandat vaksin untuk mengukuhkan keyakinan dan memerangi penularan. Enam puluh lapan peratus daripada semua responden yang ditinjau berkata mereka berminat atau menginginkan pasport vaksin domestik, dan 70% percaya pasport vaksin semestinya diperlukan untuk perjalanan antarabangsa. Yang mengejutkan, bagi mereka yang berkata bahawa mereka belum mendapatkan suntikan vaksin, 56% berkata mereka tetap tidak akan mendapatkan suntikan vaksin walaupun jika syarikat penerbangan, lapangan terbang, atau destinasi memerlukannya untuk melakukan perjalanan.

“Mandat vaksin adalah satu isu polarisasi. Banyak syarikat penerbangan, kerajaan dan destinasi secara aktif mempertimbangkan untuk mewajibkan vaksin untuk terbang atau masuk, dan majoriti pelancong menyokong penggunaan pasport vaksin,” kata Mayur Patel, Ketua bagi APAC, OAG. “Walaupun ini mungkin mencetuskan lagi kemelut, kekuatan dan ketahanan yang berterusan bagi keseluruhan pasaran pelancongan secara langsung berkait rapat dengan tahap pemvaksinan yang lebih tinggi dan kadar penularan yang lebih rendah.” 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14981

No comments:

Post a Comment