Wednesday, September 8, 2021

HASIL INOVASI DARI TEAM EXCELLENCE HOSPITAL KPJ JOHOR SPECIALIST TINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN PELANGGAN

PETALING JAYA, 7 Sept (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sentiasa menggalakkan organisasi untuk membudayakan inovasi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan kehidupan masyarakat. Projek inovasi yang telah dijalankan melalui program intervensi produktiviti dan inovasi oleh MPC telah memberi impak yang besar kepada Hospital KPJ Johor Specialist.
 
Mereka telah menghasilkan alat sokongan yg dinamakan SHOECOEYE yang dapat mengurangkan risiko pesakit dari terjatuh sebanyak 22%. Selain dari itu, mereka berjaya meningkatkan jumlah pesakit dirawat sebanyak 6.78% serta meningkatkan kadar kesediaan bilik untuk menerima pesakit baru (Bed Occupancy Rate) kepada 6%. Hasil jumlah pendapatan dan penjimatan kos projek secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak RM243,128 setahun.
 
MPC menyediakan platform kepada industri seperti program Konvensyen Team Excellence untuk mempamerkan projek inovasi yang telah dijalankan di organisasi masing-masing melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai (value creation) bagi meningkatkan kemahiran serta daya saing dalam industri. Menurut YBhg. Datin Zainon Bakar, Timbalan Ketua Pengarah MPC, “Penganjuran konvensyen Team Excellence dapat memperkukuhkan budaya inovasi secara berterusan melalui penambahbaikan inovasi dalam proses kerja, kualiti dan produktiviti. Pada tahun 2020, sebanyak 273 kumpulan telah menyertai konvensyen Team Excellence peringkat wilayah (RISTEx) di seluruh Malaysia dan secara keseluruhannya penciptaan nilai yang dihasilkan dari projek mereka adalah berjumlah RM368 juta”.
 
“Kebanyakan projek-projek inovasi yang dihasilkan menekankan tentang kecekapan sistem, proses dan cara kerja dalam organisasi yang mengambil kira faktor alam sekitar dan kelestarian. Pada tahun ini, MPC mengharapkan lebih banyak inovasi dapat dihasilkan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat seperti yang dipamerkan oleh Hospital KPJ Johor Specialist”, menurut YBhg. Datin Zainon.
 
Program RISTEx ini akan dilaksanakan melalui atas talian pada 8-9 September 2021 iaitu secara serentak di Ibu Pejabat bersama Pejabat-Pejabat Wilayah MPC dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Gabungan enam wilayah ini dijangka dapat memberi penjimatan dalam kos dan masa malah meningkatkan kecekapan pentadbiran RISTEx pada kali ini. Penganjuran RISTEx 2021 ini juga diperkukuhkan lagi dengan transformasi digital, di mana pengurusan konvensyen bermula dari proses pendaftaran, sehinggalah penjanaan sijil penyertaan, diurus secara atas talian melalui Sistem TE Go Digital.
 
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC):
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menjalankan aktiviti bagi peningkatan produktiviti, kualiti dan daya saing. Visi utama MPC ialah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi.  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14946

No comments:

Post a Comment