Saturday, September 4, 2021

AMAZON MENGUMUMKAN PELABURAN DI DALAM PENYELESAIAN PENYINGKIRAN KARBON BERASASKAN ALAM SEMULA JADI DI BRAZIL DENGAN THE NATURE CONSERVANCY

Inisiatif itu akan dilancarkan di hutan hujan Amazon, dengan tumpuan kepada penghutanan semula dan penjanaan semula agroperhutanan, sambil mendorong pembangunan ekonomi tempatan yang mapan

Pelaburan Amazon bertujuan untuk menyingkirkan sehingga 10 juta metrik tan pelepasan karbon dioksida sehingga tahun 2050 — bersamaan dengan pelepasan asap dari 2 juta kereta selama satu tahun

SEATTLE, 3 Sept (Bernama-BUSINESS WIRE) -- Sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyokong penyelesaian global kepada krisis iklim, Amazon (NASDAQ: AMZN) hari ini mengumumkan pelancaran Pemecut Agroperhutanan and Pemulihan dengan kerjasama The Nature Conservancy, sebuah organisasi alam sekitar global. Pemecut itu akan mewujudkan satu sumber pendapatan yang lebih mapan bagi ribuan petani tempatan di negeri Pará, yang terletak di kawasan Amazon di Brazil, dan pada masa yang sama memulihkan hutan hujan asli dan memerangi perubahan iklim dengan memerangkap dan menyimpan karbon secara semula jadi.

Menurut Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim, penyelesaian berasaskan alam semula jadi mempunyai satu peranan penting untuk dimainkan dalam menghindari kesan paling buruk daripada perubahan iklim. Kerajaan dan sektor swasta dapat mengurangkan pelepasan karbon dan mengeluarkan karbon daripada atmosfera dengan melabur di dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi pada skala besar. Pemecut Agroperhutanan dan Pemulihan adalah satu daripada projek penyingkiran karbon, dan merupakan sebahagian daripada komitmen Amazon dalam memenuhi Ikrar Iklim Itu,  yang mana syarikat itu diasaskan bersama dengan Global Optimism. Penandatangan kepada Ikrar itu komited untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2040—10 tahun di hadapan daripada Perjanjian Paris.

Sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memenuhi Ikrar Iklim itu, Amazon pertama sekali akan terus berinovasi dan melabur di dalam penyahkarbonan perniagaan mereka. Syarikat itu telah membeli 100,000 kenderaan penghantaran elektrik, dan merupakan pembeli korporat terbesar bagi tenaga boleh diperbaharui di dunia. Amazon juga melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi di luar rantaian nilai mereka melalui Dana Right Now Climate, yang menyokong Pemecut itu dan projek lain untuk memulihkan tanah usang dalam cara yang meningkatkan mata pencarian masyarakat tempatan dan menyingkirkan karbon dari atmosfera. Selain itu, melalui LEAF Coalition yang diumumkan baru-baru ini — satu inisiatif awam-swasta untuk menggerakkan sekurang-kurangnya $1 bilion untuk melindungi hutan tropika dunia — Amazon dan rakan lain berusaha untuk membendung penebangan hutan tropika, mengurangkan jumlah karbon yang dilepaskan di atmosfera.

“Memulihkan hutan dunia adalah satu daripada tindakan yang paling bermakna yang dapat kami lakukan sekarang untuk menangani perubahan iklim, dan ia akan memerlukan penyelesaian yang berinovatif untuk berjaya,” kata Kara Hurst, naib presiden bagi kesinambungan dunia di Amazon. “Kami amat bangga untuk melancarkan Pemecut Agroperhutanan dan Pemulihan dengan kerjasama The Nature Conservancy untuk menyokong penyelesaian yang mengutamakan integriti persekitaran tinggi dan manfaat masyarakat yang teguh. Amazon berharap dapat menyumbangkan keghairahan kami untuk inovasi bersama dengan sokongan kewangan bagi meningkatkan mata pencarian masyarakat tempatan di Brazil, sambil membantu melindungi planet ini untuk generasi akan datang.”

“Sains adalah jelas berhubung sistem semula jadi sebagai keutamaan untuk menyerap karbon dari atmosfera dan laporan terbaharu IPCC menekankan perkara ini,” kata Christiana Figueres, pengasas bersama bagi Global Optimism dan bekas ketua iklim PBB yang bertanggungjawab bagi Perjanjian Paris. “Melindungi ekosistem yang sedia ada dan memulihkan tanah usang adalah sangat penting sebagai strategi pengurangan karbon, terutama dalam tempoh satu atau dua dekad berikutnya. Projek-projek yang mencapai ini untuk mengekalkan alam semula jadi dan mata pencarian masyarakat tempatan adalah sangat berharga kepada transformasi yang diperlukan untuk berkembang maju menjangkau krisis iklim itu. Tahniah kepada Amazon dan The Nature Conservancy.”

Pelaburan awal Amazon di dalam Pemecut itu akan menyokong 3,000 petani dan memulihkan kira-kira 20,000 hektar — sebuah kawasan tanah yang saiznya sama seperti Bandar raya Seattle — dalam tempoh masa tiga tahun, menyingkirkan sehingga 10 juta metrik tan karbon dioksida dari atmosfera sehingga tahun 2050.

The Nature Conservancy akan bekerjasama dengan Pusat Agroperhutanan Dunia dan beberapa organisasi masyarakat sivil tempatan untuk melaksanakan Pemecut itu dengan membantu petani kecil memulihkan padang ragut yang usang kepada hutan asli dan agroperhutanan. Sistem agroperhutanan itu akan menyediakan sebuah sumber pendapatan yang mapan kepada petani melalui penjualan koko dan tanaman lain. Pemecut itu akan juga  membuat eksperimen dengan cara-cara berinovatif untuk menyokong petani dan memelihara pasaran bagi komoditi berasaskan hutan lestari, termasuk dengan teknologi digital, dan akan memajukan metodologi baharu dan teknologi berasaskan satelit untuk mengukur dan memantau penyingkiran karbon.

“Pará adalah tempat bagi 9% peratus daripada hutan tropika dunia, tetapi ia menghadapi kadar penebangan hutan yang belum pernah terjadi sebelum ini, kehilangan 3,300 ekar setiap hari pada tahun lalu,” kata Jennifer Morris, Ketua Pegawai Eksekutif, The Nature Conservancy. “Sepanjang 13 tahun yang lalu, ladang-ladang kecil di Pará — sebuah kawasan di mana pertanian tebang-dan-bakar nampaknya merupakan satu-satunya pilihan — bertanggungjawab untuk purata 40% daripada penebangan hutan di negeri itu. Selama 20 tahun, The Nature Conservancy telah bekerjasama dengan petani kecil, pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, dan masyarakat Orang Asli untuk mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian sama menang, seperti agroperhutanan, yang membantu orang ramai dan alam semula jadi berkembang maju. Perkongsian baharu itu dengan Amazon akan membolehkan kami untuk menyediakan sumber dan bantuan teknikal yang diperlukan untuk memajukan program ini dan menunjukkan bahawa penjanaan semula agroperhutanan dan pasaran karbon adalah model perniagaan yang berdaya maju untuk masyarakat di Amazon.”

“Kita harus bergabung untuk mencapai apa yang mungkin menjadi matlamat bagi abad ini: untuk membangunkan ekonomi kita dan melindungi pendapatan rakyat, dan pada masa yang sama memelihara dan memulihkan hutan,” kata Helder Barbalho, Gabenor bagi Pará. “Negeri Pará sudah bersiap sedia untuk menghadapi cabaran ini, dan strategi kami disusun dengan jelas di dalam rancangan Amazonia Agora kami, yang mengikat janji kami untuk mencapai bebas karbon menjelang tahun 2036, melalui pengurangan penebangan hutan dan dengan menggalakkan pemulihan hutan. Pelaburan, seperti Amazon, dalam agroperhutanan dan penghutanan semula hutan yang mapan di Pará adalah sangat dialu-alukan. Inisiatif ini akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat negeri itu, sumber semula jadi, dan kepelbagaian hayat.”

Untuk maklumat lanjut mengenai komitmen Amazon terhadap kelestarian, sila layari: https://sustainability.aboutamazon.com.

Maklumat mengenai Amazon

Amazon dipandu oleh empat prinsip: Obsesi pelanggan dan bukannya tumpuan pesaing, keghairahan untuk daya cipta, komitmen terhadap kecemerlangan operasi, dan pemikiran jangka panjang. Amazon berusaha untuk menjadi Syarikat Yang Paling Berpusatkan Pelanggan di Dunia, Majikan Terbaik di Dunia, dan Tempat Kerja Paling Selamat di Dunia. Ulasan pelanggan, membeli-belah 1-Klik, cadangan peribadi, Prime, Capai Keinginan oleh Amazon, AWS, Kindle Direct Publishing, Kindle, Pilihan Kerjaya, tablet Fire, Fire TV, Amazon Echo, Alexa, teknologi Just Walk Out, Amazon Studios, dan Ikrar Iklim adalah sebahagian daripada perkara yang dipelopori oleh Amazon. Untuk maklumat lanjut, sila layari amazon.com/about dan ikuti @AmazonNews.

Maklumat mengenai The Nature Conservancy

The Nature Conservancy adalah sebuah organisasi pemuliharaan global yang didedikasikan kepada memelihara tanah dan air yang mana semua kehidupan bergantung kepadanya. Dengan berpandukan sains, kami mencipta penyelesaian yang berinovatif dan di lapangan kepada cabaran kami yang paling sukar di dunia agar alam dan manusia dapat berkembang maju bersama. Kami menangani perubahan iklim, melestarikan tanah, air dan lautan pada skala yang belum pernah terjadi sebelum ini, menyediakan makanan dan air secara lestari dan membantu menjadikan bandar raya lebih lestari. Beroperasi di 72 buah negara dan wilayah: 38 oleh kesan pemuliharaan langsung dan 34 melalui rakan kongsi, kami menggunakan satu pendekatan usaha sama yang melibatkan masyarakat setempat, kerajaan, sektor swasta, dan rakan lain. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari www.nature.org atau ikuti @nature_press di Twitter. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14937

No comments:

Post a Comment